PUTRAJAYA: Unit Integriti yang diwujudkan dalam setiap organisasi perlu diperkasa sebagai rakan strategik kepada pengurusan tertinggi dalam mengenal pasti risiko rasuah lebih awal.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata Unit Integriti bukan hanya mengurus aduan atau tindakan susulan selepas berlaku pelanggaran, sebaliknya perlu berperanan memperbaiki kelemahan sistem dan membina budaya integriti dalam organisasi.
Katanya, pencegahan rasuah perlu bermula sebelum sesuatu kes berlaku menerusi tatakelola yang baik, sistem kawalan berkesan, pendidikan, budaya kerja dan nilai yang ada dalam diri setiap individu.
“Unit Integriti tidak seharusnya dilihat hanya sebagai unit yang mengurus aduan atau pematuhan selepas sesuatu pelanggaran berlaku.
“Sebaliknya, Unit Integriti perlu menjadi rakan strategik kepada pengurusan dalam mengenal pasti risiko lebih awal, memperbaiki kelemahan sistem dan membina budaya integriti dalam organisasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 Tahun 2026 di sini, tadi.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman.
Mengulas lanjut, Johari berkata kejayaan Unit Integriti bukan semata-mata diukur berdasarkan jumlah kes ditemui, sebaliknya berdasarkan keupayaan mengenal pasti risiko lebih awal, memperbaiki kelemahan sistem dan menjadikan budaya integriti sebahagian daripada DNA organisasi.
Katanya, apabila institusi diperkukuh, tatakelola dilaksanakan dengan baik dan integriti menjadi sebahagian daripada budaya organisasi, ruang untuk berlakunya rasuah dapat dikurangkan.
“Saya percaya, apabila Unit Integriti diperkasakan, pengurusan memberikan sokongan yang sewajarnya dan hasil penyelidikan dimanfaatkan dalam membuat keputusan. Kita akan mempunyai satu ekosistem pencegahan rasuah yang jauh lebih kukuh,” katanya.
Dalam pada itu, Johari berkata, usaha membanteras rasuah tidak boleh hanya bersifat reaktif, sebaliknya pencegahan perlu bermula dengan mengenal pasti kelemahan sistem, memperkukuh tatakelola serta membina budaya integriti dalam setiap organisasi.
Beliau berkata, kejayaan agenda antirasuah juga tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah tangkapan, pertuduhan atau sabitan.
“Ukuran lebih besar ialah sama ada kita berjaya menutup ruang berlakunya rasuah, memperbaiki kelemahan dalam sistem dan membina budaya organisasi yang benar-benar menjunjung integriti,” katanya.-BH Online
