Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MALAYSIA telah menghantar surat kepada Indonesia sebagai berhubung masalah jerebu merentas sempadan negara.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata surat itu dihantar kepada rakan sejawatnya.

Menurutnya, tindakan itu dibuat susulan arahan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar pihaknya menyelaras dengan rakan sejawat dalam ASEAN, termasuk Indonesia untuk menangani masalah jerebu rentas sempadan.

“Kita sudahpun menghantar surat kepada menteri sejawat saya mengenai masalah itu seperti disebut Perdana Menteri semalam.

“Justeru, kita sudah susulinya dengan surat kepada beliau,” katanya kepada media selepas Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau serta Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM), di ibu negara hari ini.

Semalam, Perdana Menteri mengarahkan Nik Nazmi supaya menyelaras dengan rakan sejawatnya dalam ASEAN, termasuk Indonesia untuk menangani masalah jerebu rentas sempadan.

Setakat pagi tadi, hanya kualiti udara di Sri Aman berada pada tahap tidak sihat apabila merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 108. -Media Perpaduan