KUALA LUMPUR: Malaysia perlu beralih daripada sekadar menjadi penyumbang bakat dan tenaga kerja kepada rantaian industri global kepada negara yang mampu membangunkan, mengkomersialkan serta memiliki lebih banyak teknologi sendiri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun Malaysia sudah mempunyai kedudukan kukuh dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta pembuatan termaju, negara perlu memastikan lebih banyak pengetahuan dan kepakaran tempatan diterjemahkan kepada harta intelek (IP), produk dan syarikat milik Malaysia.
Katanya, penyertaan dalam rantaian nilai global sahaja tidak memadai sekiranya nilai yang lebih besar daripada teknologi yang dihasilkan tidak kekal dalam negara.
“Malaysia telah lama menjadi destinasi utama bagi pelaburan dan pembuatan. Langkah seterusnya adalah untuk membina lebih banyak nilai daripada keupayaan yang sudah kita miliki.
“Bakat semata-mata tidak mencukupi. Kita mesti memastikan lebih banyak ilmu pengetahuan dan kepakaran yang ada akhirnya dapat melahirkan teknologi, harta intelek serta syarikat Malaysia yang mampu bersaing di peringkat global,” katanya ketika berucap pada University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026, hari ini.
Beliau berkata, cabaran utama bukan semata-mata menghasilkan penyelidikan berkualiti, sebaliknya memastikan teknologi berkenaan berjaya bergerak daripada peringkat penyelidikan kepada projek perintis, dikomersialkan dan akhirnya diperluaskan ke pasaran.
Menurutnya, jurang kritikal antara penyelidikan dan kejayaan komersial itu merupakan ‘missing middle’ yang perlu ditangani menerusi kerjasama lebih erat antara kerajaan, universiti, industri dan pelabur.
“Penyelidikan yang berkualiti memerlukan lebih daripada sekadar pembiayaan pada peringkat permulaan. Ia memerlukan modal yang tepat, rakan strategik serta laluan ke pasaran yang jelas untuk terus berkembang.
“Jika kita berjaya melaksanakan perkara ini dengan betul, kita bukan sahaja akan membiayai lebih banyak penyelidikan, malah akan membiayai lebih banyak hasil dan impak yang nyata” katanya.
Beliau berkata, Malaysia juga perlu mengubah ukuran kejayaan penyelidikan daripada hanya melihat kepada jumlah penerbitan, paten dan prototaip kepada sejauh mana hasil penyelidikan itu mampu menyelesaikan masalah sebenar, memperkukuh industri dan menghasilkan nilai ekonomi.
Beliau juga menegaskan Malaysia tidak berhasrat untuk mengurangkan peranan pelaburan asing, sebaliknya mahu menggunakan asas industri dan bakat yang dibina menerusi pelaburan itu untuk menghasilkan lebih banyak teknologi serta perusahaan tempatan. -BH Online
