Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Ekosistem penyelidikan dan inovasi Malaysia merekodkan lebih 500 paten bernilai melebihi RM2 bilion menerusi Portal Pengkomersialan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Malaysia melibatkan lebih 120 misi aktif, menunjukkan negara ini tidak ketandusan idea atau bakat.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata pencapaian itu membuktikan keupayaan inovasi Malaysia yang amat besar, dengan syarat jurang antara penyelidikan akademik dan permintaan pasaran komersial dapat dirapatkan secara berkesan. 

“Malaysia mempunyai ramai penyelidik hebat, idea dan inovasi yang berpotensi tinggi, namun terlalu banyak daripadanya masih kekal pada peringkat universiti.

“Untuk kali pertama, kami mewujudkan platform khusus bagi membolehkan penyelidik universiti membawa idea secara terus kepada industri, pelabur dan rakan kongsi berpotensi,” katanya pada majlis pembukaan Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan dan Inovasi Universiti 2026 (URIIS 2026) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. 

Selain itu, Zambry menggesa pemain industri tempatan agar mencari penyelesaian teknologi di universiti tempatan sebelum beralih kepada penyedia luar negara.

Beliau berkata walaupun institusi tempatan mempunyai pelbagai bakat, kemudahan dan harta intelek, kekurangan keyakinan sering menyebabkan pihak perniagaan mencari penyelesaian di luar negara.

“Penyelidikan tidak boleh berakhir dengan penerbitan, inovasi tidak boleh berakhir dengan paten dan prototaip tidak boleh kekal di dalam makmal. Sesuatu penemuan mesti menjadi penyelesaian. Prototaip mesti menjadi produk dan sesuatu idea mesti menjadi peluang,” katanya.

Zambry juga menyeru pelabur supaya melihat penyelidik universiti bukan hanya sebagai ahli akademik, tetapi juga sebagai inovator, usahawan dan rakan perniagaan berpotensi.

URIIS 2026 yang berlangsung selama tiga hari akan merangkumi sekurang-kurangnya sembilan sektor strategik meliputi keterjaminan makanan, penjagaan kesihatan, kecerdasan buatan, semikonduktor, pembuatan termaju, teknologi hijau, mobiliti, pertahanan dan kepelbagaian biologi.– BERNAMA