Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PEMBANGUNAN projek Nusantara di ibu negara Indonesia menjadi antara perbincangan utama bekas Presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, semalam.

Dalam satu kenyataan, Megawati berkata beliau berbincang mengenai Nusantara dengan Anwar memandangkan Malaysia sebelum ini memindahkan pentadbiran Kerajaan Persekutuan ke Putrajaya.

“Malaysia melakukannya dahulu apabila berpindah (pusat pentadbiran) dari Kuala Lumpur ke Putrajaya,” katanya dipetik Agensi Berita Antara.

Menurut Megawati, Anwar berkata pemindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Nusantara, lebih kompleks.

“Beliau (Anwar) berkata, berdasarkan keadaan Nusantara yang sedia ada, ia akan mengambil masa lebih lama…,” katanya.

Pertemuan itu berlangsung di kediaman rasmi Perdana Menteri yang turut dihadiri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Megawati berada di Malaysia selama dua hari untuk menerima ijazah doktor kehormat dalam bidang sains sosial dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), kelmarin. -Media Perpaduan