Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEBANYAK 12 hari awal tahun depan ditetapkan Mahkamah Sesyen Selayang bagi perbicaraan
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, atas tuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan menerusi ceramah politik.

Tarikh perbicaraan ditetapkan pada pada 18 dan 19 Januari, manakala 5, 8, 9, 12, 13, 15, 16, 19, 22, dan 23 Februari, lapor BH, hari ini.

Hakim, Nor Rajiah Mat Zin, memutuskan tarikh itu selepas tiada bantahan daripada peguam bela Muhammad Sanusi, Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud.

Masri juga mengesahkan kira-kira 10 saksi pendakwaan akan dipanggil dalam perbicaraan itu, selain dokumen transkrip ucapan kes itu sudah diserahkan kepada pihak pembelaan terbabit sebelum disahkan Awang Armadajaya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya itu memberitahu mahkamah bahawa terdapat pindaan berhubung dua pertuduhan dihadapi Muhammad Sanusi dan memohon supaya ia dibacakan.

Pindaan itu membabitkan perubahan pada seksyen pertuduhan kerana sebelum ini, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 namun dipinda kepada Seksyen 4(1)(b) akta sama.

Muhammad Sanusi kemudian mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pindaan kerana didapati menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara, Gombak, jam 11 malam, 11 Julai lalu.

Pendakwaan mengikut Perenggan 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang membawa kepada denda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Nor Rajiah juga membenarkan permohonan pendakwaan supaya dua kes Muhammad Sanusi dibicarakan secara bersama di hadapannya selepas tiada bantahan daripada pembelaan Muhammad Sanusi.

Ia susulan perkembangan di satu lagi Mahkamah Sesyen, apabila Hakim, Osman Affendi Mohd Shalleh, membenarkan satu kes Menteri Besar Kedah itu dipindahkan dan dibicarakan bersama di hadapan Nor Rajiah.

Masri berkata, permohonan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Tatacara Jenayah atas alasan dua kes itu membabitkan teks dan saksi sama, maka wajar supaya ia dibicara bersama. -Media Perpaduan