Sorting by

×

KERAJAAN negeri kini dibenarkan membuat penerokaan awal unsur nadir bumi (REE), kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berkata, kebenaran itu berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk perlombongan nadir bumi dan mineral.

Jelasnya, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM) yang berlangsung semalam.

“Jawatankuasa ini juga akan melihat keperluan dalam melaksanakan rangka kerja kebangsaan bagi pembangunan industri mineral, contohnya bagi tujuan pengekstrakan REE.

“Bagi menyahut ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kerajaan negeri dibenarkan melaksanakan eksplorasi awal REE berdasarkan SOP NR-REE (REE tanpa radioaktif) dan dasar mineral sedia ada,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Turut hadir ketika mesyuarat semalam termasuklah beberapa menteri besar dan exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab ke atas portfolio mineral di negeri masing-masing.

Mesyuarat itu turut dihadiri ketua jabatan Persekutuan yang terbabit dalam pengurusan mineral serta pakar dalam bidang perlombongan, pemuliharaan alam sekitar dan pembuatan.

Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, mesyuarat itu bertujuan menyelaraskan isu pengurusan mineral antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“Mesyuarat itu adalah forum bagi melihat dan memperincikan isu industri mineral negara dan JKPPIM membantu mempercepatkan proses pembuatan keputusan berkaitan industri mineral, di samping menggalakkan kerjasama dan penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam pengurusan isu mineral,” katanya. -Media Perpaduan