Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pementasan teater muzikal Mansur & Liu arahan maestro muzik, Datuk M Nasir sebagai antara pementasan terbaik pernah disaksikan di Malaysia.

Anwar berpandangan, karya berskala besar itu mampu setanding dengan beberapa pementasan di peringkat antarabangsa, sekali gus membuktikan keupayaan penggiat seni tempatan menghasilkan karya bermutu tinggi.

Sebagai individu yang mengikuti perkembangan teater tempatan, Anwar berkata, pemerkasaan seni dan budaya memerlukan sokongan berterusan kerajaan dan sektor swasta bagi menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk penggiat seni.

“Apabila saya sebut pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, kita bicara tentang pemerkasaan budaya. Malam ini kita telah buktikan bahawa ada pementasan tempatan yang telah meningkat ke satu taraf yang boleh dibanggakan.

“Saya fikir antara pementasan terbaik yang saya lihat dalam negara dan agak boleh setanding dengan beberapa (teater) tempat lain di dunia. Apa yang perlu ialah tentunya dokongan kerajaan dan swasta supaya ada kemudahan tambahan,” katanya ketika ditemui selepas menonton pementasan Mansur & Liu di Istana Budaya (IB) di sini, malam tadi.

Turut hadir menyaksikan pementasan itu ialah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; penerbit dan pengarah, Datuk Yusuf Haslam bersama isteri, Datin Patimah Ismail.

Anwar menzahirkan penghargaan kepada M Nasir dan semua pihak yang terbabit dalam menjayakan pementasan Mansur & Liu, selain meluahkan rasa syukur kerana berpeluang menyaksikan sendiri keupayaan seni tempatan.

“Jadi, tahniah kepada sahabat saya M Nasir dan semua yang menjayakan, luar biasa. Saya bersyukur dapat bersama-sama menyaksikan sendiri keupayaan pementasan seni tempatan,” katanya.

Teater muzikal Mansur & Liu berlangsung di Panggung Sari, (IB) selama 11 hari mulai 10 September lalu dan akan berakhir, malam ini.

Teater sulung arahan M Nasir itu mengangkat kisah Sultan Melaka keenam, iaitu Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu dari Dinasti Ming yang diambil daripada Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.

Mansur & Liu menjadi antara pementasan berskala besar terawal dipersembahkan di IB selepas panggung seni utama negara itu selesai menjalani kerja pembaikan dan naik taraf.

Mansur & Liu mempertaruhkan gandingan Aliff Aziz sebagai Sultan Mansur Shah dengan bakat baharu, Melinda Dadew yang diberi tanggungjawab menghidupkan watak Puteri Liu.

Selain Aliff dan Melinda, pementasan itu turut dibarisi Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan, Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad.

Diterbitkan Roman Abadi dengan kerjasama Icon Entertainment, teater muzikal mempersembahkan 30 lagu serta skor muzik asli ciptaan M Nasir.

Karya berkenaan bukan sekadar mengisahkan pertemuan antara Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu, malah menyingkap zaman yang menyaksikan diplomasi mengatasi sengketa, kebijaksanaan mengalahkan kekuatan dan kasih merapatkan dua empayar yang dipisahkan lautan. -BH Online