Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KOTA TINGGI: Malaysia tidak akan menghantar pasukan pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) ke Yaman memandangkan negara itu sedang berdepan konflik dan berperang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peranan Malbatt sebagai pasukan pengaman biasanya dihantar ke negara yang dalam fasa pasca konflik dan bukannya peperangan.

Beliau berkata, keputusan menghantar pasukan pengaman itu juga tertakluk kepada arahan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan tidak diambil secara bersendiri.

“Apa-apa pun keputusan kita, ia berpandukan kepada pihak PBB, bukannya kita lakukan secara tersendiri. Jadi, PBB yang buat keputusan sama ada nak hantar pasukan pengaman atau tidak.

“Macam di Lebanon kita pasukan pengaman yang dihantar untuk memastikan syarat-syarat perdamaian itu dipatuhi.

“Tapi, sekarang di Yaman itu konflik perang, PBB tak pernah hantar mana-mana pasukan untuk terlibat dalam perang,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Kota Tinggi di Dewan Besar Felda Air Tawar 2 di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dengan Kerajaan Yaman, namun konflik yang berlaku ketika ini membabitkan kumpulan Houthi yang berkonflik dengan Arab Saudi.

“Negara Yaman yang kita ada hubungan diplomatik dan ada satu lagi kawasan di Yaman yang diduduki oleh kumpulan Houthi. Mereka ini yang sedang berkonflik dengan Arab Saudi, bukan Yaman.

“Kena faham, ini sedang perang, tak akan alih-alih kita nak masuk tengah-tengah (perang), memang akan ada korban jiwa dan raga,” katanya. -BH Online