KUCHING: Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menyampaikan sumbangan Pemberian Ehsan Keluarga/Mangsa Bencana (PEKA) kepada keluarga mendiang Debra Moset, jururawat yang maut dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, pada 8 September lalu.
Bantuan disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, ketika menziarahi keluarga mendiang di Kampung Semadang, Padawan, di sini, hari ini.
Nancy yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN berkata, bantuan itu sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada keluarga mendiang yang sedang melalui tempoh sukar selepas kehilangan insan tersayang secara mengejut.
“Bantuan ini tidak mampu menggantikan nyawa yang sudah pergi, namun saya berharap ia dapat membantu meringankan sedikit beban keluarga dalam menghadapi waktu yang amat sukar ini.
“Bantuan PEKA YKN ini adalah antara bentuk sokongan awal kepada keluarga mangsa.
“Dalam keadaan seperti ini, kehadiran dan perhatian kita amat penting supaya keluarga yang sedang berduka tidak berasa bersendirian,” katanya.
Turut hadir Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin; Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPWKM, Mohd Daud Mohd Arif.
Pemberian ehsan Tabung Bantuan Segera (TBS) PEKA YKN itu disampaikan kepada suami mendiang Debra, John Then Hua Ken.
Nancy berkata, jasa dan pengorbanan mangsa yang memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat, khususnya penduduk di kawasan pedalaman, akan sentiasa dikenang.
Selain itu, beliau berkata, ibu mendiang Debra, Renog Rasas, 71, akan menerima Bantuan Warga Emas (BWE) bermula bulan depan.
Renog juga akan menerima Kenyalang Gold Card yang memberi manfaat khas untuk warga emas selain Kemudahan Kesihatan Warga Emas (SCHB).
Sementara itu, pada 18 September lalu, Ketua SetiausahaPembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Dr Maziah Che Yusoff, turut menziarahi keluarga Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamaruddin di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan untuk menyampaikan bantuan PEKA YKN.
Bantuan sama turut diselaraskan untuk disampaikan kepada keluarga tiga lagi mangsa nahas, iaitu Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham di Senawang, Negeri Sembilan serta keluarga mendiang Alexson Adit Henry dan mendiang Jessie Paya Jok di Miri.
PEKA YKN adalah bantuan tunai segera kepada keluarga atau waris mangsa bencana dan kejadian tidak diingini bagi membantu meringankan beban mereka ketika berdepan situasi sukar. -BH Online
