KUCHING: Program fertiliti dan bantuan rawatan kesuburan akan diberi tumpuan menerusi peruntukan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi membantu menangani kadar kelahiran rendah, terutama di Sarawak dan Pulau Pinang.
Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata program berkenaan termasuk membantu pasangan yang berdepan masalah kesuburan, selain menggalakkan lebih ramai pasangan muda mempunyai anak.
Usaha itu sudah dilaksanakan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), namun kementerian mahu memberi tumpuan lebih besar terhadap program berkenaan tahun depan.
“Sarawak dan Pulau Pinang antara yang perlu diberi fokus kerana kita mahu membantu meningkatkan kelahiran,” katanya selepas pelancaran Perantis Pendaya 2.0 di Dayak Chamber Tower, di sini, hari ini.
Program berkenaan turut merangkumi bantuan kepada pasangan yang mempunyai masalah kesuburan, termasuk rawatan seperti persenyawaan in vitro (IVF)yang dilaksanakan di bawah LPPKN.
null
“Kita sedar faktor ekonomi juga menjadi antara pertimbangan pasangan muda untuk mempunyai anak, tetapi perkara itu akan ditangani kerajaan menerusi kementerian berkaitan,” katanya.
Nancy berkata, kementerian mahu memperbanyak program yang dapat menggalakkan pasangan muda mempunyai anak kerana negara memerlukan pertambahan penduduk.
Kementerian juga mempunyai kajian berkaitan kadar fertiliti yang boleh membantu mengenal pasti pendekatan sesuai untuk meningkatkan kadar kelahiran.
“Pada masa ini, kadar pertumbuhan itu masih belum berada pada tahap yang kita harapkan, tetapi kita sedang berusaha menggalakkan peningkatan kelahiran.
“Ada sebab-sebab tertentu berdasarkan kajian yang menyebabkan kadar itu sedikit rendah dan saya akan kongsikan hasilnya pada masa akan datang,” katanya.
Perantis Pendaya
Mengenai Perantis Pendaya anjuran Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), beliau berkata, program itu menghimpunkan kira-kira 400 peserta di Sarawak tahun ini, manakala jumlah peserta di seluruh negara mencecah 3,000 orang.
Kementerian berharap penyertaan dapat ditambah tahun depan, termasuk mengetengahkan lebih banyak produk unik berasaskan seni, muzik, budaya dan identiti etnik tempatan, khususnya dari Sarawak.
Perkembangan peserta di Sarawak menunjukkan banyak produk yang dihasilkan mempunyai keunikan tersendiri, termasuk mengetengahkan elemen etnik dan kebudayaan.
“Kita berharap lebih ramai peserta dapat mengetengahkan produk etnik dan hasil kreatif yang unik pada tahun depan,” katanya. -BH Online
