Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Keputusan Lembaga Pengampunan berhubung hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak tidak menjejaskan prinsip kerajaan untuk terus mengambil tindakan tegas terhadap semua kes rasuah dan salah guna kuasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata prinsip negara hukum yang menjadi pegangan kerajaan kekal dan tidak bermakna negara perlu tunduk kepada amalan rasuah atau penyalahgunaan kuasa.

Katanya, semua kes rasuah termasuk kes membabitkan bekas Perdana Menteri itu yang masih berjalan perlu diteruskan mengikut landasan undang-undang.

“Tapi akhirnya, Perlembagaan menetapkan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan saya harap kita terima baik.

“Selain daripada itu, saya nak tegaskan, prinsip negara hukum, keputusan kita mengambil tindakan kepada semua kes rasuah tidak tergugat, ini tidak bermakna negara harus tunduk kepada amalan penyakau dan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikam solat Jumaat di Surau Nur Perdana, Presint 10 di sini, hari ini. 

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta. 

Perkara itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dalam kenyataan hari ini.

Ikut proses undang-undang

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau sebagai Perdana Menteri menjalankan tugas memberi memberi nasihat mengenai implikasi undang-undang, kestabilan negara, soal prinsip negara hukum dan juga mengikuti nasihat serta panduan yang ditulis lengkap dan panjang oleh Peguam Negara. 

Justeru, beliau berkata, kerajaan akan terus memastikan semua kes berkaitan rasuah dan salah laku dibawa mengikut proses undang-undang tanpa mengira individu terbabit.

“Begitu juga kes-kes lain dalam soal rasuah. Negara ini mesti diselamatkan dan kita perlu ketegasan serta dukungan semua rakyat dalam menentukan ini negara hukum.

“Negara ini tidak lagi anggap ringan apa-apa salah laku ataupun salah guna kuasa untuk memperkayakan mana-mana pemimpin atau mana-mana rakyat. Ini pendirian kita,” katanya.-BH Online