Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DATUK Seri Wan Rosdy Wan Ismail menafikan dakwaan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Pahang akan menyertai Perikatan Nasional (PN) jika pembangkang menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai.

Menteri Besar Pahang itu berkata, kesemua Adun BN di negeri itu telah menyatakan kesediaan untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk di negeri itu.

“Saya ada terdengar tu (4 Adun akan lompat)…tetapi tadi Adun-Adun secara spontan ada yang membuat video dan merakamkan sendiri bahawa mereka tidak akan keluar dan akan terus bersama BN.

“Ada juga yang buat video secara kelompok lebih kurang 11 orang dan boleh dikatakan seluruh Adun dari BN mengatakan akan terus berada dalam kerajaan perpaduan,” katanya dipetik Malaysiapost, dekat Bentong malam tadi.

Wan Rosdy menyifatkan cerita lompat parti itu sebagai satu fitnah yang dibawa oleh pihak lawan.

“Ini satu lagi fitnah, saya harap rakyat dapat menilai betapa mereka ini suka buat fitnah.

“(Pembangkang) mewujud dan mereka cipta supaya menakutkan rakyat dan terpengaruh dengan cakap mereka walhal ini tidak benar sama sekali.

Saya dah dapat video dari rakan-rakan Adun BN yang menyatakan mereka akan terus bersama kerajaan perpadua, yang menyatakan akan terus bersama saya sebagai menteri besar,” katanya.

Semalam Pengerusi PN,Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan gabungan itu mampu mengambil alih pentadbiran Pahang jika menang dalam PRK Pelangai.

Muhyiddin membayangkan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man akan menjadi menteri besar jika ia berlaku.

“PRK Pelangai untuk rakyat bersama kita memberikan isyarat jelas.

“Ya, (kemenangan) tak akan mengubah (komposisi) kerajaan kerana tambah satu (kerusi sahaja). (Ia juga bermakna) kurang empat (kerusi sahaja berbanding kerajaan negeri).

“Mungkin nanti ada YB UMNO sedar kesilapan dan ingin masuk jemaah kita. (Jika ia berlaku) Insya-Allah Tuan Ibrahim bakal menteri besar Pahang,” katanya. -Media Perpaduan