KUCHING: Kerajaan bersetuju memperluaskan kemudahan pemindahan kelayakan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) dengan pemilik berdaftar boleh memindahkan kelayakan kepada mana-mana pengguna sebenar kenderaan diesel persendirian yang layak, berkuat kuasa serta-merta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sebelum ini pemindahan kelayakan hanya dibenarkan kepada ahli keluarga terdekat.
“Walaupun kita mengumumkan BUDI95 (BUDI MADANI RON95) 300 liter sebulan pada Ambang Kemerdekaan 31 Ogos, tetapi pemilik pikap dan jip diesel… ini masalah banyak di Sabah dan Sarawak, masih mengeluh. Jadi, kita naikkan diesel bersubsidi hingga 400 liter sebulan.
“Tetapi inilah ertinya demokrasi, kita dengar, masih mengeluh, menteri-menteri Sabah dan Sarawak keluarkan permasalahan ini, maka selain daripada pengumuman bulan lalu, kerajaan bersetuju untuk menambah baik BUDI Diesel,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam ini.
Selain itu, Anwar berkata, pemilik berdaftar yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel persendirian boleh memindahkan kelayakan bulanan BUDI Diesel kenderaan berkenaan kepada maksimum tiga kenderaan lain.
Katanya, pemindahan kelayakan bulanan inisiatif BUDI Diesel kenderaan itu tertakluk kepada permohonan rayuan. -BH Online
