KUCHING: Sarawak mampu muncul negeri maju serta berpendapatan tinggi menjelang 2030, berdasarkan kestabilan negara dan kerjasama erat antara Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan Kerajaan Persekutuan, kata Premier, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
Katanya, beliau yakin Sarawak sedang melangkah dengan gigih dan penuh keyakinan ke arah masa depan yang gemilang, selaras impian serta visi tokoh pengasas Sarawak dalam Malaysia.
“Dengan kerjasama dan kolaborasi erat antara kerajaan GPS dan Kerajaan Persekutuan, dengan kestabilan yang ada pada Malaysia, saya amat yakin Sarawak mampu berada di puncak sebagai negara yang maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026, di sini, malam ini.
Abang Johari berkata, beliau berharap sambutan itu dapat membakar semangat kepimpinan dan rakyat untuk meneruskan perjuangan generasi terdahulu dalam membina masa depan lebih unggul bagi seluruh rakyat.
Katanya, tokoh dari Sarawak bersetuju bergabung dengan wilayah lain untuk membentuk Malaysia pada 1963 kerana percaya Sarawak mempunyai peluang mengejar kemajuan bersama rakan di Tanah Melayu yang ketika itu lebih maju.
“Selepas 63 tahun berada dalam Gagasan Malaysia, rakyat Sarawak masih berpegang kepada impian tokoh-tokoh Sarawak yang menjadi pengasas Malaysia bersama pemimpin lain dari Tanah Melayu (ketika itu) dan Sabah,” katanya.
Abang Johari berkata, masa depan Sarawak kini sudah direncana dengan jelas melalui kepimpinan kerajaan GPS dengan matlamat memastikan negeri ini terus maju dan makmur dalam Malaysia, selain turut menyumbang kepada kekuatan negara menerusi ekonomi, tenaga hijau, industri, teknologi serta pembangunan serantau.
Beliau turut mengalu-alukan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memberi jaminan pembangunan negara akan direncana secara lebih seimbang dengan mengambil kira potensi Sarawak dan Sabah.
Katanya, pada mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kota Kinabalu, baru-baru ini, Perdana Menteri turut menyatakan usaha memperkasakan MA63 akan dilaksanakan sebagai komitmen nasional, termasuk persetujuan menetapkan nisbah perwakilan Parlimen Sarawak dan Sabah tidak kurang daripada satu pertiga.
“Bagi pihak Kerajaan Sarawak, saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri yang bersetuju menentukan suatu formula perkongsian hasil antara Kerajaan Pusat dan Sarawak seperti diperuntukkan bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Selain itu, Abang Johari berkata, beliau menghargai persetujuan Kerajaan Persekutuan meletakkan bidang pelancongan dalam senarai bersama bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, yang disifatkannya mampu membuka ruang kerjasama lebih kukuh antara Putrajaya, Sarawak dan Sabah.
Katanya, pengiktirafan hak dan keistimewaan Sabah serta Sarawak perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda nasional kerana pendekatan pembangunan yang lebih menyeluruh mampu mengukuhkan kesatuan rakyat.
Dalam perkembangan ekonomi, beliau berkata, pembangunan Sarawak semakin menyerlah berdasarkan dasar jangka panjang menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (Post COVID-19 Development Strategy) 2030, khususnya dari segi hala tuju ekonomi hijau dan mampan. -BH Online
