Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meluangkan masa menziarah keluarga mendiang Debra Moset di Rabak Rimu, Kampung Semadang, Padawan, Sarawak, hari ini. 

Kementerian Kesihatan (KKM), dalam hantaran di Facebook, memaklumkan kunjungan itu bagi menyampaikan ucapan takziah secara bersemuka serta menyerahkan sumbangan bantuan bagi membantu meringankan beban keluarga mendiang. 

“Semasa lawatan itu, Menteri Kesihatan meluangkan masa bertemu dengan ahli keluarga mendiang, termasuk ibu Debra, Renog Rasas, 71, dan anak-anak mendiang.

“Menteri Kesihatan turut memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak mendiang supaya terus tekun belajar dan bertekad mencapai impian mereka,” katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pengurusan) Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Banges Munga. 

Sebelum ini, media melaporkan nahas pada 8 September lalu membabitkan helikopter BO-105 yang menjalankan operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) dan terhempas berhampiran Long Lellang STOLport, Ulu Baram, ketika dalam perjalanan menjalankan tugasan perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman Sarawak.

Nahas itu mengorbankan lima individu di dalam helikopter berkenaan iaitu juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; penolong pegawai perubatan, Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44. -BH Online