Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Keadaan mental atlet negara berada pada tahap baik dan tidak berdepan tekanan menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun, sekali gus menyuntik keyakinan sasaran enam pingat emas mampu direalisasikan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, persiapan kontingen negara kini berada pada tahap baik dengan aspek mental menjadi antara keutamaan utama menjelang temasya berkenaan.

Menurutnya, biarpun atlet bakal berdepan cabaran termasuk keadaan cuaca yang tidak menentu di Jepun, pihaknya yakin segala persiapan dan langkah kontingensi sudah dilakukan bagi memastikan kebajikan serta keselamatan kontinjen negara terjamin.

“Persiapan kita sangat baik. Sekarang ini kontingen kita semua telah pun bersedia dan kita juga telah mengeluarkan SOP (prosedur operasi standard) untuk memastikan atlet-atlet kita yang berada di sana dalam keadaan yang baik, dalam keadaan yang selamat.

“Seperti yang kita tahu, keadaan cuaca tidak menentu di sana, tetapi kita sentiasa berhubung dengan kerajaan Jepun dan juga pihak tuan rumah untuk memastikan apa jua langkah kontingensi dapat diambil dengan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui pada larian Oxyenergy Media Prima Merdeka Run 2026, di Balai Berita, Bangsar, di sini, hari ini.

Taufiq berkata, aspek mental kini diberi perhatian serius selepas atlet melalui persiapan fizikal dan teknikal yang rapi sebelum berdepan saingan sebenar di Aichi-Nagoya.

Katanya, pihaknya juga sudah bertemu dengan atlet negara bagi memastikan mereka mendapat penjelasan serta penerangan yang diperlukan selain berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi cabaran temasya.

“Yang paling penting mereka telah pun membuat persiapan yang cukup rapi dan sekarang persiapan mental adalah perkara yang paling utama bagi kita,” katanya.

“Dan insya-Allah kita yakin dan percaya sasaran yang telah pun ditetapkan iaitu enam pingat emas itu dapat dicapai,”katanya.

Dalam pada itu, Taufiq berkata Ketua Kontinjen (CDM) negara sudah membuat persiapan rapi bagi memastikan segala keperluan kontinjen berjalan lancar sepanjang temasya.

Beliau dijadual berlepas ke Aichi-Nagoya pada 18 September ini sebelum menghadiri majlis pembukaan temasya pada 19 September.

Pada masa sama, Taufiq turut memberi jaminan pihaknya akan terus memantau keadaan kontingen negara dan berhubung rapat dengan pihak tuan rumah sekiranya berlaku sebarang perubahan terutama membabitkan keadaan cuaca.

Mengikut rekod, hujan lebat yang melanda Nagoya sejak Selasa lalu menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air, manakala perkhidmatan pengangkutan awam turut terjejas.

Malah, kira-kira 400 atlet dan pegawai yang sudah berada di Nagoya sebelum ini turut dipindahkan sementara ke kawasan lebih tinggi sebagai langkah keselamatan sebelum dibenarkan kembali ke penginapan masing-masing. -BH Online