KUALA LUMPUR: Heritage Valley Kuala Lumpur, hab keusahawanan dan komuniti di bawah inisiatif Malaysian Entrepreneur Hub (MEH) oleh UDA Holdings Bhd (UDA), menjana jualan terkumpul lebih RM4.6 juta serta memberi manfaat kepada lebih 500 usahawan dan vendor dalam tempoh setahun sehingga Ogos lalu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, pencapaian itu membuktikan ruang bandar strategik boleh dimanfaatkan bagi membuka akses pasaran lebih luas kepada usahawan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Katanya, antara cabaran utama usahawan mikro bukan hanya berkaitan modal, tetapi turut membabitkan akses kepada lokasi strategik yang mempunyai aliran pengunjung tinggi.
“Di kawasan tengah bandar, kadar sewa selalunya di luar kemampuan perniagaan yang baru bermula.
“Melalui Heritage Valley, kita mahu menyediakan ruang niaga pada kadar lebih berpatutan, sambil membawa masuk program, acara dan aktiviti yang boleh menarik pelanggan kepada usahawan,” katanya ketika merasmikan Heritage Valley Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Dibangunkan di atas tapak seluas 0.69 hektar di Jalan Doraisamy, hab berkenaan kini menempatkan 26 usahawan yang beroperasi secara tetap di kiosk dan lot kedai.
Setiap vendor mencatatkan purata jualan awal sekitar RM8,000 hingga RM10,000 sebulan.
Selain usahawan tetap, manfaat Heritage Valley turut diperluaskan menerusi pelbagai program, acara dan aktiviti jualan termasuk Santai Maa, Secondlife Market, Slay Maa, Curators Lab dan Kuala Lumpur Bike Week.
Keseluruhan aktiviti itu menarik lebih 100,000 pengunjung, sekali gus menyediakan platform tambahan kepada usahawan dan vendor tempatan untuk memasarkan produk serta perkhidmatan mereka.
Bagi 2026 dan seterusnya, Heritage Valley menyasarkan untuk memberi manfaat kepada lebih 700 usahawan dan vendor menerusi program, acara serta aktiviti komersial, selain usahawan yang beroperasi secara tetap di lokasi berkenaan.
Projek itu membabitkan pelaburan keseluruhan RM9.7 juta, merangkumi RM6.4 juta kos pembangunan oleh UDA dan RM3.3 juta pelaburan oleh pengendali, Luxe Acre Sdn Bhd.
Selain 26 lot tetap sedia ada, sebanyak 14 unit ruang runcit sementara akan diperkenalkan, menjadikan keseluruhan 40 lot niaga dengan sasaran jualan melebihi RM6.5 juta setahun.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali, berkata kejayaan Heritage Valley tidak seharusnya diukur berdasarkan pembangunan fizikal atau kadar penghunian premis semata-mata, sebaliknya berdasarkan peluang ekonomi yang diwujudkan kepada usahawan.
“Heritage Valley Kuala Lumpur juga bakal diperkembangkan menerusi perancangan pembukaan kiosk baharu bagi memperluas manfaat kepada lebih ramai usahawan.
“Perancangan ini akan menyediakan lebih banyak ruang niaga serta peluang pertumbuhan kepada usahawan tempatan,” katanya.
Setakat Ogos 2026, projek MEH di seluruh negara sudah memberi manfaat kepada 611 usahawan dan vendor, termasuk lebih 526 di Heritage Valley, 20 di Santai Camp, Angsana Johor Bahru Mall dan 65 di Morten Walk, Melaka.
Secara keseluruhan, projek MEH mencatatkan anggaran jualan terkumpul lebih RM7.75 juta, terdiri daripada lebih RM4.6 juta di Heritage Valley, RM2.3 juta di Santai Camp dan RM850,000 di Morten Walk.
Selain Heritage Valley, MEH turut dilaksanakan di Morten Walk, Melaka dan Santai Camp, Johor, manakala satu lagi hab di Kundasang, Sabah sedang dalam pembangunan. -BH Online

