KUALA LUMPUR: Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri bukan sekadar medan menguji keupayaan berhujah, malah menjadi platform penting dalam membentuk generasi muda yang berani bersuara, berfikiran kritis dan menghormati perbezaan pandangan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata pertandingan yang kini memasuki edisi ke-51 itu terus menjadi warisan Tun Abdul Razak Hussein dalam menyediakan ruang kepada golongan muda untuk menguji keberanian, mempertajam ilmu serta mengasah keupayaan berhujah.
“Lebih daripada sekadar pertandingan, ia menjadi ruang untuk anak-anak muda belajar menyusun fikiran, mempertahankan pendirian dan pada masa sama menghormati pandangan yang berbeza,” katanya.
Anwar berkata beliau berkesempatan meraikan peserta Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Edisi Ke-51 selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, menjelang pertandingan yang dijadual berlangsung di Universiti Multimedia, Cyberjaya, esok.
Perdana Menteri turut menyatakan kekaguman terhadap kepekaan peserta terhadap perkembangan semasa, selain keberanian mereka mengemukakan persoalan serta kritis dalam menilai pelbagai isu.
Anwar berkata demokrasi yang sihat bukan sekadar keberanian untuk bersuara tetapi juga kesediaan untuk mendengar dan menghormati perbezaan.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada peserta agar berbahas dengan tegas, penuh keyakinan dan adab serta berhujah tanpa membenci dan berbeza pandangan tanpa bermusuhan.
Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri bermula pada 1974 di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak, dan diperkenalkan sebagai memenuhi gagasan Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein bagi melahirkan bakat pemimpin dinamis, cerdas dan bijaksana khusus untuk sekolah berasrama penuh (SBP).– BERNAMA
