Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak lagi meluluskan mana-mana loji jana kuasa berasaskan arang batu dengan fasa penamatan dijangka berakhir sekitar 2044, tegas Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata, pada masa sama, Malaysia menjangkakan keperluan kira-kira sembilan gigawatt (GW) untuk dimasukkan ke dalam sistem melalui loji jana kuasa gas.

Katanya, perancangan itu perlu diurus Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Tenaga bagi memastikan permintaan dapat diurus, pada masa sama kekal komited terhadap usaha mengurangkan jejak karbon dalam sektor tenaga.

“Dari segi komitmen kerajaan, kita sememangnya tidak lagi meluluskan mana-mana loji jana kuasa berasaskan arang batu dan fasa penamatan itu akan berakhir sekitar tahun 2044. Itu akan menjadi loji jana kuasa arang batu terakhir yang ditamatkan operasinya.

“Pada masa sama, berdasarkan angka yang dikongsikan, kita menjangkakan keperluan kira-kira sembilan GW untuk dimasukkan ke dalam sistem melalui loji jana kuasa gas,” katanya selepas merasmikan Wawasan Kawal Selia Tenaga 2026 (ERI) dianjurkan Suruhanjaya Tenaga di sini, hari ini.

Katanya, cuaca atau iklim yang meningkatkan keperluan sistem penyejukan dan penghawa dingin turut mengubah corak permintaan tenaga.

“Melangkah ke depan, pengurusan permintaan tenaga akan menjadi sama penting dengan pengurusan bekalan tenaga. 

“Justeru, saya fikir untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, Malaysia perlu cukup berdisiplin untuk memastikan sistem kita terus dinaik taraf, bukan saja dari segi kuasa yang dihasilkan tetapi juga dari segi grid dan infrastruktur supaya sistem kekal mampu milik, selamat dan mampan,” katanya.

Jelasnya, reformasi tenaga kini bukan lagi sekadar perkara berkaitan sektor atau kawal selia, sebaliknya menjadi teras kepada dasar ekonomi.

“Reformasi tenaga bukan lagi hanya perkara sektoral atau kawal selia. Ia adalah teras kepada dasar ekonomi. Kos, kebolehpercayaan dan profil karbon tenaga akan mempengaruhi lokasi pelabur menjalankan operasi, daya saing industri, kepantasan teknologi baharu digunakan serta usaha melindungi kepentingan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal berkata, keadaan jerebu yang masih berlaku perlu diberi perhatian susulan fenomena El Nino yang dijangka berterusan sehingga pertengahan tahun depan.

Katanya, keadaan itu memerlukan perhatian terhadap perkembangan yang bergantung kepada cuaca termasuk aktiviti pertanian dan penternakan.

“Namun, kita juga perlu mengambil kira bahawa kesediaan kita untuk mengurangkan kesan keadaan perubahan iklim ini turut berkait dengan isu tenaga.

“Corak atau tingkah laku penggunaan tenaga juga boleh memberi kesan. Maksudnya, jika cuaca panas, penggunaan tenaga untuk penghawa dingin dan sebagainya juga akan meningkat,” katanya.

Jelasnya, langkah mitigasi sedang diambil dengan penyelarasan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), termasuk jika terdapat keperluan untuk proses pembenihan awan.

“Mengenai kesan jangka pendek jerebu terhadap tenaga, beliau berkata perubahan penggunaan tenaga mungkin berlaku, manakala kesan jangka pendek lebih kepada pihak pengawal selia jika langkah mitigasi perlu diambil,” katanya. -BH Online