Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kelangsungan pendidikan masyarakat Melayu dan Bumiputera pada masa hadapan tidak lagi boleh bergantung kepada kuota semata-mata, sebaliknya perlu ditransformasikan kepada ‘survival’ keupayaan diri.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata kejayaan golongan itu perlu diukur menerusi kemampuan menguasai bidang kritikal seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), penciptaan teknologi baharu serta pemilikan harta intelek.

“Ukurannya bukan sekadar berapa ramai yang memasuki universiti, tetapi berapa ramai yang mampu berfikir, menguasai STEM, membina syarikat global dan memimpin institusi bertaraf dunia,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 di sini hari ini.

Zambry berkata, bagi mencapai matlamat itu, ekosistem pendidikan negara perlu berganjak daripada sekadar menyediakan akses kepada peningkatan kualiti dan kelayakan kepada kompetensi, pekerjaan kepada keusahawanan, serta penggunaan kepada pemilikan teknologi.

Terdahulu, dalam ucapannya Zambry menekankan kepentingan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan identiti, manakala bahasa Inggeris serta bahasa lain berfungsi sebagai jambatan untuk bersaing di peringkat global tanpa mengabaikan aspek integriti.

“Dalam mengejar kecemerlangan global, kita tidak boleh kehilangan jiwa. Pendidikan mesti melahirkan manusia yang pintar tetapi pada masa yang sama mempunyai akhlak, identiti, integriti dan keberanian moral,” katanya.

Mengenai konvensyen berkenaan yang merupakan kesinambungan Kongres Pendidikan Bumiputera pada 1 Mei lalu, Zambry berkata satu resolusi komprehensif akan dirumuskan pada akhir persidangan hari ini.

Beliau berkata resolusi berkenaan kemudian akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi tindakan dasar selanjutnya oleh kerajaan.– BERNAMA