Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR – Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) diminta mendapatkan pendirian rasmi secara bertulis daripada setiap parti politik berhubung cadangan penggubalan Akta Pendanaan Politik sebelum perkara itu dibawa ke Kabinet.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pendirian rasmi itu penting bagi memastikan pandangan yang dikemukakan benar-benar mewakili keputusan parti, bukannya pandangan individu politik semata-mata.

Katanya, ahli politik juga akan menjadi antara pihak utama yang membahaskan peruntukan akta berkenaan kelak memandangkan mereka merupakan antara pihak yang akan tertakluk secara langsung kepada undang-undang itu.

“Sebab saya juga mahu tahu parti politik mana yang setuju dan tidak setuju. Kalau panggil dan tanya ahli politik, ia tidak sama dengan pendirian parti. (Pandangan sebagai ahli politik) lain, parti lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Konvensyen Pendanaan Politik 2026 bertemakan ‘Reformasi Institusi: Membina Kepercayaan, Memperkukuh Demokrasi’ di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini, hari ini.

Menurut Azalina, jawapan berkenaan wajar dikemukakan secara rasmi dan ditandatangani Presiden atau Setiausaha Agung parti masing-masing supaya kerajaan mempunyai rekod jelas mengenai pendirian serta cadangan setiap parti.

“Tapi saya akan terkejut kalau ada parti yang cakap mengenai menentang rasuah tetapi tidak setuju dengan akta ini. Kenapa kan? Bagi saya, kalau parti yang saya wakili tidak akan ada masalah, pada sayalah,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata kajian persepsi awam dan sesi libat urus yang dijalankan sebelum ini secara umumnya menunjukkan penerimaan positif terhadap cadangan mewujudkan undang-undang khusus berkaitan pendanaan politik.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih memerlukan pendirian rasmi parti politik sebagai pihak yang bakal tertakluk kepada undang-undang berkenaan.

Katanya, keutamaan ketika ini adalah memastikan proses penyediaan RUU itu dibuat dengan teliti supaya undang-undang yang bakal diperkenalkan benar-benar sesuai dengan landskap politik Malaysia yang mempunyai parti dengan latar belakang dan asas perjuangan berbeza.

Mengulas lanjut, Azalina berkata antara perkara yang masih perlu diperhalusi termasuk skop pelaksanaan undang-undang, badan kawal selia, sumber dan had sumbangan, mekanisme penerimaan dana, pelaporan, audit, ketelusan serta kesalahan dan hukuman.

“Kalau orang menderma kepada parti politik, adakah kita nak tanya siapa yang menderma? Ada negara yang tidak membenarkan orang asing menderma.

“Jadi kita kena lihat setiap satunya. Tetapi kita juga perlu fikir tentang perlindungan kepada penderma,” katanya.

Dalam pada itu, Azalina berkata isu sumbangan daripada pihak asing juga perlu diberi perhatian bagi mengelakkan dana berkenaan digunakan untuk mempengaruhi keputusan atau dasar negara.

Katanya, mekanisme yang sesuai perlu diwujudkan termasuk keperluan pendedahan sumber dana, khususnya bagi sumbangan asing, tertakluk kepada format yang akan diputuskan kerajaan.

Menurutnya, pada masa sama kerajaan perlu memastikan peraturan pendanaan politik tidak menyebabkan penderma berasa terancam atau takut untuk menyumbang.

“Kalau tidak beri perlindungan kepada penderma, siapa yang hendak beri bantuan? Jadi perkara ini kita kena tengok,” katanya.

Sebelum ini, BHEUU merekodkan bahawa kajian persepsi awam berkaitan pendanaan politik telah selesai pada Februari 2026 dengan penyertaan 3,539 responden, termasuk tinjauan, sesi kumpulan fokus dan temu bual. Kajian itu turut mengambil kira sesi libat urus bersama pihak berkepentingan.

BHEUU turut mengenal pasti beberapa syor dasar untuk dimasukkan dalam RUU Pendanaan Politik termasuk skop pemakaian undang-undang, penubuhan badan kawal selia dana politik, sumber dana dan had sumbangan, mekanisme penerimaan dana serta aspek pelaporan, audit, ketelusan, kesalahan dan hukuman.

Mengulas tempoh pelaksanaan, Azalina berkata masih terdapat ruang untuk proses berkenaan diselesaikan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Saya pun tak tahu bila PRU16. Ikut apa yang Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim)… (Tapi) kalau (RUU siap) tahun depan mungkin sempatlah,” katanya.

Dalam ucapannya, Azalina berkata atas kapasiti Ahli parlimen Pengerang beliau secara peribadi tanpa Akta Pendanaan Politik ahli politik akan mudah dikenakan tuduhan rasuah.

“Sebab nanti orang bagi bantuan dianggap rasuah, sebab niat tidak diperjelaskan, resit tidak dikemukakan. Itu sebabnya kalau tiada akta ini banyak masalah boleh wujud,” katanya.-
MalaysiaGazette