SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 melabuhkan tirai dengan mencatat kehadiran lebih lima juta pengunjung dan jualan keseluruhan melebihi RM73 juta, mengatasi sasaran penganjurannya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kecenderungan anak muda menjadikan pertanian sebagai pekerjaan utama menunjukkan perkembangan positif dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Menurutnya, penglibatan itu seiring usaha berterusan kerajaan untuk mendekatkan generasi muda dengan sektor pertanian dan agromakanan.
“Anak-anak muda ini menjadikan pertanian sebagai pekerjaan utama, bukan sekadar kegiatan sampingan.
“Ini perkembangan positif yang saya lihat sepanjang 10 hari penganjuran MAHA 2026,” katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian Penutupan MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini pada Ahad.
Berdasarkan rekod, MAHA 2026 menerima 5,023,905 pengunjung sepanjang 10 hari, melepasi sasaran empat juta pengunjung.
Daripada jumlah itu, seramai 2,009,562 merupakan belia, bersamaan 40 peratus keseluruhan pengunjung dan melebihi sasaran awal 800,000 orang.
Menurut kenyataan media Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada Isnin, jualan keseluruhan melebihi RM73 juta berbanding sasaran RM58 juta.
Sebanyak 97 memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai dengan nilai keseluruhan lebih RM10.35 bilion, mengatasi sasaran RM8 bilion.
Pencapaian itu memperkukuh peranan MAHA sebagai platform untuk membuka peluang perniagaan, pelaburan dan jaringan kerjasama dalam sektor pertanian serta agromakanan.
Bertemakan “Penciptaan Nilai demi Keterjaminan Makanan”, pameran berkenaan mengetengahkan pertanian pintar, automasi, dron, kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IoT) serta teknologi makanan.
Penekanan terhadap teknologi dan inovasi itu turut membuka ruang kepada belia meneroka peluang kerjaya serta keusahawanan dalam sektor agromakanan.
Dalam pada itu, Mohamad Sabu berkata, MAHA turut menjadi titik pertemuan masyarakat pelbagai latar belakang untuk mendekati sektor pertanian.
“Kali ini, saya melihat kehadiran masyarakat pelbagai kaum, khususnya peningkatan yang agak ketara dalam kalangan masyarakat Tionghoa, yang mungkin turut didorong oleh liputan media.
“Pertanian bukan soal latar belakang politik, sebaliknya menjadi wadah penyatuan masyarakat dalam usaha mencapai keterjaminan makanan,” ujarnya.
Penganjuran kali ini melibatkan lebih 2,000 pempamer dan delegasi antarabangsa dari 14 negara, sekali gus menyediakan ruang pertukaran teknologi serta peluasan pasaran eksport produk agromakanan Malaysia.-Astro Awani
