Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pengenalan gaji kehidupan wajar oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada paras RM3,100 dijangka memacu persaingan mendapatkan bakat berkualiti di negara ini.

Malah, langkah itu juga dijangka mendorong syarikat swasta lain menawarkan pakej gaji yang lebih baik.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata hampir 190,000 pekerja GLC dan GLIC kini menikmati pendapatan sekurang-kurangnya RM3,100 sebulan, sekali gus mencapai penanda aras gaji kehidupan wajar.

Beliau berkata, langkah gaji kehidupan wajar yang dimulakan dengan GLIC dan GLC itu penting bagi mewujudkan persaingan mendapatkan bakat berkualiti

“Justeru, kita harap apabila GLIC dan GLC sudah menaikkan gaji, syarikat lain juga perlu bersaing dengan mereka. 

“Syarikat swasta lain perlu menawarkan pakej gaji lebih baik sekiranya mahu menarik tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya ketika ditemui di Balai Berita Media Prima, di sini, hari ini.

Kehadiran beliau disambut Pengerusi Media Prima Bhd, Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Junid serta Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Mohd Rafiq Razali dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian TV, Kandungan Media Prima serta Primeworks Studios, Nini Yusof.

Amir Hamzah berkata, kerajaan berharap trend peningkatan gaji dapat diteruskan pada masa depan, termasuk menerusi kenaikan gaji minimum dan peningkatan pendapatan pekerja separa mahir.

Pada masa sama, beliau berkata, usaha meningkatkan gaji perlu disokong dengan penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, khususnya dalam sektor industri bernilai tinggi.

“Kita juga harus menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik. Lebih banyak kita dapat menarik syarikat yang bekerja dalam sektor industri tinggi seperti semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E) serta digital, ia akan menjana pekerjaan yang lebih baik dalam negara,” katanya.

Amir Hamzah berkata, perkembangan pelaburan domestik dan asing yang semakin kukuh turut memberi asas kepada penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat.

Beliau berkata, peranan GLIC dalam merangsang pelaburan dan mengembangkan sektor bernilai tinggi juga penting bagi memastikan peningkatan pendapatan rakyat dapat diteruskan secara mampan.

“Kita nampak lebih banyak pelaburan yang dipercayai, manakala pelaburan luar negara juga semakin banyak. Peranan yang dimainkan oleh GLIC juga tinggi dan peluang pekerjaan akan naik.

“Kita berharap ini akan menjadi asas baharu untuk negara,” katanya.

Pelaksanaan dasar gaji kehidupan wajar adalah selaras dengan inisiatif GEAR-uP yang diterajui oleh Kementerian Kewangan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan saksama. 

Penanda aras gaji kehidupan wajar telah ditetapkan pada kira-kira RM3,100 sebulan, berdasarkan analisis perbandingan penggajian industri dan piawaian kos sara hidup yang digariskan dalam Panduan Belanjawanku 2024/2025. 

Pendekatan itu melangkaui gaji asas dengan merangkumi pelbagai manfaat tambahan seperti penjagaan kesihatan, pelan persaraan, dan mekanisme simpanan untuk meningkatkan kualiti hidup pekerja.

Langkah kolektif yang diambil itu mencerminkan usaha bersepadu sektor korporat dalam menyokong visi Ekonomi MADANI. 

Dengan menetapkan penanda aras gaji yang lebih tinggi daripada gaji minimum, inisiatif ini berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan dalam sektor ekonomi utama negara.

Usaha itu dijangka dapat memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif serta berakar umbi dalam kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhan. -BH Online