Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu melaksanakan peralihan tenaga secara terurus bagi memastikan agenda menuju sistem tenaga lebih bersih dapat dicapai tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan keselamatan bekalan tenaga negara.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata dalam tempoh berkenaan, minyak dan gas (O&G) akan terus memainkan peranan penting dalam ekonomi negara serta memastikan keselamatan tenaga, terutama ketika Malaysia meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu.

Katanya, gas asli dijangka kekal sebagai komponen utama dalam campuran tenaga primer negara sehingga 2050, sekali gus menjadi antara sumber penting dalam menyokong proses peralihan tenaga.

“Gas asli juga menjadi bahan api peralihan utama yang menyokong penjanaan kuasa, industri dan kebolehpercayaan sistem ketika tenaga boleh baharu terus berkembang.

“Ini membolehkan Malaysia meningkatkan penembusan tenaga boleh baharu secara berperingkat, sambil mengekalkan sumber tenaga yang fleksibel untuk memenuhi permintaan elektrik dan keperluan industri,” katanya dalam ucaptama sempena Pameran Persidangan Minyak dan Gas Asia 2026 (OGA 2026) bertemakan “Keterjaminan Tenaga Malaysia dalam Landskap Tenaga yang Berubah Pantas’ di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Akmal Nasrullah berkata, kebergantungan berlebihan kepada mana-mana satu sumber tenaga boleh meningkatkan kerentanan terhadap gangguan bekalan.

Justeru, katanya, hala tuju dasar negara melalui Rancangan Malaysia Ke-13, Dasar Tenaga Negara dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) adalah untuk mempelbagaikan sumber tenaga menerusi tenaga nuklear, tenaga boleh baharu, penyimpanan tenaga, hidrogen dan bio tenaga.

“Objektifnya bukan sekadar menggantikan satu sumber tenaga dengan sumber yang lain, tetapi memberi Malaysia lebih banyak pilihan, mengurangkan pendedahan kepada kejutan luaran dan mewujudkan sumber nilai ekonomi baharu.

“Peralihan ini juga memerlukan kita mengurus pertukaran sukar, termasuk cara tenaga berharga, supaya ia kekal mampu milik terutama kepada mereka yang memerlukan sokongan, selain memberi isyarat yang betul kepada kecekapan, pelaburan dan pembangunan sistem tenaga lebih mampan,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal berkata, keselamatan tenaga negara perlu dibina berasaskan daya tahan, bukannya usaha menghapuskan setiap risiko kerana tiada negara mampu berbuat demikian.

Jelasnya, Malaysia mempunyai kepelbagaian sumber tenaga yang menjadi kekuatan penting, dengan gas asli menyumbang 42 peratus daripada jumlah bekalan tenaga primer pada 2024, diikuti minyak mentah dan produk petroleum sebanyak 33 peratus, arang batu dan kok 22 peratus serta hidro dan tenaga boleh baharu empat peratus.

“Daya tahan juga bermakna terus memperluas pilihan menerusi pembekal, teknologi, infrastruktur dan rangkaian serantau yang pelbagai bagi memberi kita fleksibiliti tambahan apabila keadaan bekalan biasa terganggu,” katanya.

Dalam konteks industri minyak, gas dan perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE), Akmal berkata, Malaysia sudah membangunkan keupayaan besar hasil lebih empat dekad aktiviti minyak dan gas.

Katanya, syarikat tempatan membina kepakaran dalam bidang kejuruteraan, fabrikasi, perkhidmatan luar pesisir, penyelenggaraan, logistik dan pengurusan projek, selain mewujudkan pekerjaan serta membangunkan kepakaran teknikal.

“Bagaimanapun, landskap tenaga global sedang berubah dan fasa seterusnya industri OGSE Malaysia tidak boleh sekadar melakukan perkara yang sama dalam skala lebih besar.

“Syarikat OGSE perlu bergerak daripada penyedia perkhidmatan kepada rakan teknologi, daripada melaksanakan kontrak individu kepada menyediakan penyelesaian bersepadu serta daripada bersaing terutama di pasaran domestik kepada berkembang di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya. -BH Online