Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari optimis kontinjen Malaysia mampu melakar pencapaian lebih baik pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 berbanding edisi Hangzhou 2022.

Pada temasya di Hangzhou, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-14 keseluruhan dengan kutipan enam pingat emas, lapan perak dan 18 gangsa.

Taufiq berkata, keyakinan itu hadir berdasarkan persiapan rapi atlet serta komitmen semua pihak yang terbabit, namun sasaran rasmi pingat hanya akan diumumkan pada 8 September selepas mendapat pandangan daripada persatuan sukan.

“Insya-Allah saya yakin ada peningkatan (berbanding edisi Hangzhou 2022) dan persiapan kita sudah cukup hebat.

“Namun, untuk menetapkan sasaran pingat, kita perlu melihat dan berbincang dengan persatuan mengenai kemampuan serta keyakinan mereka terhadap sasaran yang ditetapkan,” katanya selepas meninjau persiapan atlet olahraga dan sepak takraw di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Turut hadir, ketua kontinjen negara, Datuk Wira Mohd Sumali Reduan.

Taufiq berkata, pendekatan menetapkan sasaran berdasarkan warna pingat, khususnya emas, akan diteruskan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya selepas strategi sama digunakan pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 bulan lalu.

Pada temasya di Glasgow itu, Malaysia berjaya melepasi sasaran lima emas apabila membawa pulang lapan emas, tiga perak dan lima gangsa.

Beliau berkata, perkara paling penting ketika ini ialah memastikan atlet berada pada tahap terbaik dari segi fizikal dan mental sebelum beraksi di Jepun.

“Kita melihat persiapan yang cukup baik, latihan yang mencukupi dan paling penting ialah persiapan mental atlet untuk menghadapi temasya yang cukup besar ini.

“Sukan Asia bukan temasya yang mudah, tetapi dengan semangat yang ditunjukkan atlet, kita yakin apa juga yang disasarkan mampu dicapai,” katanya.

Taufiq berkata, atlet negara membawa tanggungjawab besar kerana mereka bukan sahaja berjuang untuk diri sendiri, tetapi turut membawa harapan rakyat Malaysia bersama Jalur Gemilang.

Katanya, aspek kebajikan atlet dan persiapan kontinjen turut menjadi keutamaan bagi memastikan tiada kekurangan yang boleh menjejaskan prestasi pasukan negara.

“Setakat ini untuk persiapan Sukan Asia, tiada masalah besar. Semua berada dalam keadaan baik dan kita hanya perlu mengekalkan momentum dari segi fizikal serta mental,” katanya.

Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dijadual berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober.-BH Online