Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan kekal tenang dan tidak membuat tafsiran atau kesimpulan secara beremosi berhubung kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya, Isnin lalu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata perkara itu perlu dilihat berdasarkan fakta dan keseluruhan situasi termasuk mengambil kira Dr Mahathir sebelum ini sudah mendapat kelulusan untuk melakukan perjalanan ke Thailand.

“Setakat yang saya difahamkan, Dr Mahathir mendapat kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi perjalanan ke Thailand dari 28 hingga 31 Ogos.

“Bagaimanapun, saya tidak tahu pula jadual perjalanan Dr Mahathir ke Thailand berubah. Jadi tidak wajar untuk membuat sebarang andaian terhadap mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kehadiran Dr Mahathir pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, pagi Isnin mencuri tumpuan orang ramai yang menyaksikan persembahan berkenaan. 

King Sing berkata, sekiranya berlaku perubahan jadual perjalanan, perkara itu boleh dimaklumkan kepada kerajaan mengikut prosedur ditetapkan bagi membatalkan urusan perjalanan yang sudah diluluskan.

“Jika kemudiannya beliau membuat keputusan untuk menghadiri sambutan Hari Kebangsaan, perkara itu juga boleh dimaklumkan kepada Perdana Menteri dan kerajaan supaya pihak penganjur dapat membuat persiapan serta mengatur tempat duduk sewajarnya. 

“Walaupun pada pagi sambutan berkenaan, malah pada saat-saat akhir sekalipun, sekiranya beliau memaklumkan kepada pihak penganjur bahawa beliau ingin hadir, saya percaya tempat duduk beliau masih boleh diatur,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat tidak seharusnya membuat kesimpulan hanya berdasarkan satu paparan pada hari berkenaan sehingga timbul dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri itu dipinggirkan kerajaan atau tidak dibenarkan menghadiri sambutan Hari Kebangsaan.

Katanya, isu berkenaan juga tidak wajar diperbesar-besarkan sehingga dikaitkan dengan dakwaan bahawa Malaysia tidak menghormati warga emas atau tidak menghargai negarawan yang berjasa.

“Walaupun kita mempunyai perbezaan politik, namun kita tetap perlu menghormati kedudukan beliau sebagai bekas pemimpin negara serta sumbangan dan jasa yang pernah dicurahkan kepada Malaysia.

“Namun, soal menghormati negarawan dengan urusan pentadbiran dan protokol adalah dua perkara yang berbeza serta tidak wajar dicampur-adukkan,” katanya.

King Sing menegaskan isu berkaitan urusan pentadbiran atau protokol semasa sambutan Hari Kebangsaan tidak seharusnya dijadikan asas membina naratif bahawa Malaysia tidak menghormati orang tua dan tokoh yang berjasa.

“Lebih penting lagi, kita tidak seharusnya mengambil satu isu politik dan mengangkatnya menjadi isu budaya, apatah lagi sehingga mencetuskan sentimen perkauman atau ketegangan antara kaum.

Menurut beliau, setiap individu sememangnya berhak mempunyai pandangan yang berbeza dan mengkritik sebarang keputusan atau ketetapan kerajaan. 

“Namun, sebelum kita membuat sebarang kenyataan atau kritikan, kita seharusnya terlebih dahulu memahami fakta dan keseluruhan perkara yang berlaku. 

“Jangan kerana kita sudah mempunyai emosi atau tanggapan tertentu, kita kemudiannya mereka cerita untuk menyokong tanggapan tersebut,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menuding jari menyalahkan Perdana Menteri dan kerajaan tanpa memahami keseluruhan situasi sebenar.

Katanya, isu yang dipolitikkan sehingga menimbulkan sentimen perkauman atau budaya bukan sahaja memberi kesan kepada masyarakat dalam negara, malah boleh menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Pelancong, pelabur dan masyarakat antarabangsa dari seluruh dunia turut mengenali Malaysia melalui laporan media dan media sosial,” katanya.

“Kita sentiasa memperkenalkan Malaysia kepada dunia sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum, inklusif, mesra dan hidup dalam suasana harmoni. 

“Semua ini bukan sahaja merupakan aset budaya negara, malah turut menjadi sebahagian daripada daya tarikan Malaysia,” katanya.

King Sing menggesa semua ahli politik, khususnya yang pernah memegang jawatan sebagai pemimpin negara, supaya lebih menyedari tanggungjawab dan kesan daripada setiap kenyataan atau tindakan yang dibuat.

“Dalam politik, kita boleh mempunyai pendirian yang berbeza, mengkritik kerajaan dan menyuarakan rasa tidak puas hati.

“Namun, apabila sesuatu perkara menyentuh imej negara, budaya masyarakat dan hubungan antara kaum, maka kita semua perlu lebih berhati-hati, matang serta bertanggungjawab,” katanya. -BH Online