Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia terus memperkukuh pengurusan saliran mesra alam bagi meningkatkan daya tahan bandar dalam menghadapi perubahan iklim, urbanisasi pesat dan kejadian cuaca ekstrem yang semakin kerap serta intensif.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad mewakili Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, berkata pendekatan pengurusan banjir kilat perlu diperkasa dengan mengintegrasikan penyelesaian berasaskan alam semula jadi (Nature-based Solutions – NbS), inovasi, data dan teknologi digital.

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pengurusan air larian bandar bukan sahaja berkesan dari aspek kejuruteraan, malah mampu menyokong pembangunan bandar yang lebih selamat, berdaya tahan dan lestari.

“Pengurusan banjir kilat perlu melangkaui pendekatan kejuruteraan konvensional dengan mengintegrasikan penyelesaian berasaskan alam semula jadi, inovasi, data serta teknologi digital,” katanya semasa merasmikan National Conference on Stormwater Management (SWaM) 2026 bertemakan Inspired by Nature, Engineered for Resilience di Sunway Putra Hotel, di sini, hari ini.

Persidangan yang berlangsung selama empat hari sehingga 4 September itu dianjurkan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) bersama Malaysian Stormwater Organisation (MSO), dengan River Engineering and Urban Drainage Research Centre (REDAC) serta The Institution of Engineers, Malaysia (IEM) sebagai penganjur bersama.

Abdul Rahman berkata, pada hari ini, pengurusan air hujan tidak lagi boleh diukur semata-mata menerusi keupayaannya untuk mengalirkan atau menyimpan air. 

Sebaliknya, ia mesti dinilai berdasarkan keupayaannya mengurangkan risiko banjir, sekali gus mengimbangi pembangunan ekonomi yang mampan, kelestarian alam sekitar, dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup rakyat secara keseluruhan. 

“Untuk merealisasikan visi ini, ia memerlukan penterjemahan penyelesaian berasaskan alam semula jadi (nature-based solutions) yang diintegrasikan dengan inovasi kejuruteraan terkini, dipacu oleh analisis data termaju, pemodelan ramalan, kecerdasan buatan (AI), serta teknologi digital.

“Gabungan keupayaan pintar ini akan membolehkan kita membuat keputusan yang tepat, bertindak dengan tangkas, dan memperkukuh bandar-bandar kita bagi mendepani masa depan yang semakin sukar diramal,” katanya.

Beliau turut menegaskan, daya tahan pengurusan air hujan memerlukan pendekatan menyeluruh kerajaan, industri, dan masyarakat.

Justeru, Persidangan SWaM 2026 berfungsi sebagai platform kebangsaan yang amat penting bagi penggubal dasar, agensi kerajaan dan swasta, pemimpin industri, ahli akademik dan komuniti untuk merangka penyelesaian bersepadu. 

“Matlamat akhirnya, kejayaan kita bergantung kepada komitmen kolektif dan tanggungjawab bersama untuk membina bandar-bandar yang bersedia mendepani cabaran di hadapan,” katanya.

SWaM edisi kelima itu menghimpunkan hampir 400 peserta terdiri daripada agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, institusi profesional, akademia dan pemain industri.

Persidangan berkenaan menjadi platform bagi memperkukuh perkongsian ilmu, inovasi dan kerjasama dalam pengurusan risiko banjir kilat serta air larian bandar secara lebih mampan.

Dalam pada itu, Malaysia mempunyai asas kukuh menerusi Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang menggalakkan integrasi pendekatan semula jadi dalam perancangan dan pembangunan bandar.

PETRA menerusi JPS Malaysia kini turut melaksanakan semakan menyeluruh terhadap MSMA bagi memastikan kandungan manual berkenaan terus relevan dengan keperluan pembangunan semasa, risiko perubahan iklim, kemunculan teknologi baharu serta amalan pengurusan air larian bandar yang lebih berkesan.

PETRA turut menegaskan komitmennya untuk memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, institusi profesional, akademia dan industri dalam mempergiat pengurusan saliran bandar yang mampan demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat. -BH Online