Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kenyataan seorang menteri Bangladesh yang mendakwa Malaysia merancang mengambil 200,000 pekerja dari negara berkenaan, tidak mewakili pendirian rasmi kerajaan negara itu, kata jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata, beliau sudah berhubung dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan mengenai perkara itu dan dimaklumkan bahawa kenyataan berkenaan dibuat oleh seorang menteri muda serta tidak seharusnya dianggap sebagai pengumuman rasmi kerajaan Bangladesh.

“Saya ada berhubung dengan Menteri Sumber Manusia mengenai perkara terbabit dan beliau memaklumkan bahawa itu bukan kenyataan rasmi daripada pihak kerajaan Bangladesh. 

“Ia (kenyataan) dikeluarkan oleh seorang, saya difahamkan seorang junior minister (menteri muda), jadi bukan mewakili keputusan rasmi pihak kerajaan Bangladesh,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi Bangladesh, Mir Shahe Alam, berkata Malaysia merancang mengambil kira-kira 200,000 pekerja Bangladesh dalam tempoh enam bulan akan datang.

Beliau dilaporkan berkata, pekerja berkenaan akan diambil melalui syarikat yang diluluskan pihak berkuasa Malaysia, manakala proses pengambilan akan bermula secara berperingkat pada akhir September dan dijangka selesai dalam tempoh enam bulan.

Pada Jun lalu, Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman, meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempertimbangkan untuk membuka semula pasaran buruh Malaysia kepada pekerja Bangladesh.

Malaysia mengehadkan pengambilan pekerja Bangladesh pada 2024 susulan laporan mengenai eksploitasi, termasuk jeratan hutang, buruh paksa dan pekerja yang tiba di negara ini tanpa pekerjaan seperti yang dijanjikan kepada mereka. -BH Online