AMALAN biasa pengendali majlis jabatan kerajaan yang meminta tetamu hadir terlalu awal sehingga ada yang perlu menunggu satu jam sebelum program bermula perlu dihentikan.
Justeru, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua jabatan kerajaan yang mengendalikan program selepas ini tidak meminta kehadiran tetamu terlalu awal hingga membazir masa.
“Saya tengok dalam jadual ketibaan Perdana Menteri jam 1 petang, ketibaan tetamu jam 12 tengahari. Apa pasal awal sangat? Satu jam tu lama.
“Jadi saya minta semua jabatan kerajaan kalau urusan program ini tukarlah sikit.
“Insya-Allah ini dijadikan arahan… 10 atau 15 minit sebelum program tak apa untuk atur duduk dan sebagainya.
“Tapi tak perlu sampai tetamu diminta hadir begitu lama kerana itu membazir waktu dan mengurangkan produktiviti negara,” ucapnya pada Majlis Rahmah Mesra Madani di Dewan Canselor Universiti Teknologi Petronas, di Seri Iskandar, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.- Media Perpaduan