KUALA LUMPUR: Pindaan ke atas Akta Tabung Haji 1995 akan dilaksanakan segera bagi melengkapkan penambahbaikan tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH) yang sedang dilaksanakan Kerajaan MADANI.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata Sidang Khas mengenai Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI)TH di Dewan Rakyat, hari ini, membuktikan TH mesti terus diperkukuh, penguatkuasaan sedang berjalan dan institusi itu perlu diberikan ruang untuk melengkapkan baki syor penambahbaikan oleh RCI.
Beliau berkata, TH ketika ini sudah bangkit semula, dengan dana pendeposit melonjak melebihi RM90 bilion, agihan keuntungan mencatat rekod tertinggi sejak 2018 dan kos haji kekal stabil hasil pengurusan yang berhemah.
“Kepada umat Islam di Malaysia, yakinlah, TH kekal teguh mempertahan hak anda.
“Di sebalik angka RM90 bilion ini, ada wang simpanan hasil titik peluh petani, nelayan dan jemaah yang merindui Kaabah.
“Ini bukan sekadar simpanan, ini adalah amanah yang amat suci. Kita pelihara kepercayaan ini dan pertahankan maruah institusi ini, demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Sidang Khas mengenai RCI TH di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, seramai 39 Ahli Parlimen membahaskan laporan RCI TH pada Sidang Khas berkenaan.
Selain itu, Zulkifli berkata, tindakan TH pada 2014, termasuk dalam pengisytiharan dividen ketika aset kurang daripada liabiliti dan pemberian hibah menunjukkan amaran serta peringatan Bank Negara Malaysia (BNM) diberikan perhatian serius oleh institusi itu.
“Amalan pemberian hibah tidak berhemah dan tidak berpandukan kedudukan kewangan sebenar masih diteruskan hingga 2017.
“Jika amaran BNM diberikan perhatian sewajarnya, kerajaan tidak perlu menyelamatkan TH tetapi yang sebaliknya berlaku, malah sidang Parlimen hari ini membuktikan bahawa amaran dan peringatan pihak berautoriti seperti BNM tidak diberi perhatian,” katanya. -BH Online
