SHAH ALAM: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mengesahkan 14 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana membawa dadah dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, membabitkan rampasan 73.17 kilogram (kg) dadah bernilai RM5.5 juta.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata tangkapan membabitkan 11 lelaki dan tiga wanita.
“Negara-negara yang terlibat Taiwan ada enam kes, Filipina (dua), Indonesia (tiga) serta masing-masing satu kes membabitkan Hong Kong, Macau dan Maldives.
“Selain itu, 51 individu membabitkan 41 kes ditahan dalam tempoh sama ketika cuba membawa dadah keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Semua 51 tangkapan itu membabitkan individu daripada 13 negara, dengan pemegang pasport United Kingdom mencatat jumlah tertinggi iaitu 14 orang, diikuti Malaysia (12), Singapura (lapan), Perancis (lima), Indonesia (dua), Hong Kong (dua), Jepun (dua), Thailand, Ireland, Slovakia, India, Portugal dan Uganda masing-masing seorang,” katanya pada sidang media hari ini.
Hussein berkata, hasil 51 tangkapan di KLIA, sebanyak 1.2 tan dadah dirampas membabitkan nilai RM97 juta.
“Ini menunjukkan kejayaan PDRM lakukan di KLIA,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan perbandingan jumlah dadah dirampas PDRM di KLIA dengan jumlah yang berjaya dibawa keluar dan dikesan pihak berkuasa luar negara, kira-kira enam peratus daripada cubaan berkenaan berjaya dikesan di luar negara.
“Kalau kita ambil dua nilai ini ataupun statistik ini, maksudnya enam peratus daripada yang kita rampas ataupun berjaya gagalkan adalah cubaan untuk bawa keluar.
“Berdasarkan statistik ini, PDRM melakukan yang terbaik di KLIA,” katanya.
Sehubungan itu, Hussein menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran sindiket yang menjanjikan pelbagai insentif, upah lumayan atau percutian.
“Itu mesej kami. Dalam setiap siri kenyataan media, kita menekankan perkara ini supaya warganegara kita sentiasa berwaspada agar tidak terjebak atau terpedaya dengan sindiket yang menawarkan pelbagai insentif, upah, percutian dan sebagainya, tetapi akhirnya mereka terjerat dalam sindiket dadah,” katanya. -BH Online
