Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggagalkan operasi import ayam sejuk beku secara tidak sah di Sabah, dengan sindiket dipercayai merasuah pegawai pihak berkuasa di pelabuhan.

BH difahamkan, sejumlah 10 kontena berisi makanan sejuk beku berkenaan dipercayai untuk edaran di Sabah dikesan diimport menggunakan taktik itu melalui Ops Chick yang dilancarkan pagi tadi.

Hasil operasi itu, tiga lelaki berusia lingkungan 30-an hingga 50-an yang berperanan sebagai ejen penghantaran dan pengurus syarikat ditahan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan mengenai operasi itu, dengan tangkapan dilakukan di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

“Ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu untuk proses permohonan reman bagi membantu siasatan, esok,” katanya.

Beliau mengesahkan, Op Chick dilaksanakan Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Sementara itu sumber memberitahu BH 10 kontena ayam sejuk beku yang diimport dari China secara tidak sah itu turut disita.

“Berdasarkan siasatan awal, kontena-kontena yang berisi ayam sejuk beku berkenaan diisytihar secara tidak benar dan tidak melalui proses pemeriksaan yang ditetapkan.

“SPRM juga sedang mengenal pasti individu-individu lain yang terlibat,” katanya.-Astro Awani