KUALA LUMPUR: Pengguna kod respons pantas (QR) menerusi Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) bagi laluan Malaysia-Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor diberikan keutamaan bermula hari ini bagi melancarkan urusan pelepasan imigresen terutama pada waktu puncak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menerusi hantaran Facebook berkata inisiatif itu disediakan khusus di kaunter 9 dan 10, Dewan Penumpang Keluar (Bas) dari 4.30 pagi hingga 8 pagi.
“Bagi rakyat Malaysia yang setiap hari berulang-alik ke Singapura melalui BSI, waktu pagi memang cukup mencabar. Ramai yang keluar seawal subuh, mengejar bas dan masa untuk sampai ke tempat kerja.
“Dengan penggunaan QR MyNIISe, kita mahu proses pelepasan imigresen menjadi lebih mudah dan pantas, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan,” katanya.null
MyNIISe antara inisiatif utama di bawah agenda reformasi kerajaan yang boleh dimuat turun melalui Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery. – BERNAMA
