Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) mencatat keuntungan lebih RM25 juta pada 2025, meningkat berbanding RM11 juta tahun sebelumnya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata keuntungan itu turut disalurkan secara konsisten kepada dana kebajikan dan pendidikan nelayan, sekali gus membuktikan keupayaan NEKMAT menjana pulangan yang memberi manfaat kepada komuniti berkenaan.

“Ini membuktikan kecekapan pengurusan dan komitmen tinggi dalam memajukan sektor perikanan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan NEKMAT Kali Ke-41, di sini, semalam.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak; Pengerusi Lembaga Pengarah NEKMAT, Abdul Hamid Bahari; serta Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.

Malah, Mohamad memaklumkan bahawa pada minggu lalu, pengurusan tertinggi NEKMAT telah membentangkan cadangan projek dan program pembangunan persatuan nelayan di seluruh negara yang membabitkan peruntukan puluhan juta ringgit.

Katanya, perkara itu akan dibawa kepada Kementerian Kewangan ketika perbincangan Belanjawan 2027, dan menjadi antara keutamaan KPKM.

Pada majlis sama, beliau turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara NEKMAT dengan Green Borneo Eco Land Sdn Bhd, disusuli penyampaian sumbangan kepada Yayasan Nelayan Malaysia (YANEM).

Sementara itu, Abdul Hamid pula berkata, peningkatan keuntungan tahun ini membolehkan agihan dividen sebanyak 15 peratus kepada Persatuan Nelayan Kawasan negeri, meningkat berbanding sembilan peratus pada tahun lalu.

Beliau berkata, peningkatan prestasi kewangan itu didorong perkembangan pelbagai aktiviti perniagaan NEKMAT, termasuk jualan diesel borong dan runcit, perusahaan ais, penternakan udang, pengangkutan, pemasaran serta pembangunan perumahan nelayan.

“Kita yakin prestasi pada tahun ini akan melebihi tahun sebelumnya,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pula, Abdul Hamid berkata, skim perlindungan baharu untuk nelayan kini menawarkan subsidi kerajaan, dan mereka hanya perlu membayar RM70 setahun berbanding kadar caruman sebenar sebanyak RM231.20.

Beliau berkata, skim itu yang mula dilaksanakan bulan ini, tiada ketetapan had umur dan menawarkan pelbagai manfaat, termasuk pampasan kematian sebanyak RM3,000. -BH Online