PETALING JAYA: Peralihan tenaga bukan lagi sekadar agenda alam sekitar, sebaliknya ia satu keperluan ekonomi dan keselamatan negara,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan, kerjasama awam dan swasta penting bagi menggembleng modal secara besar-besaran bagi tujuan mencapai agenda itu tanpa perlu bergantung kepada dana kerajaan semata-mata.
“Kita memerlukan modal untuk membina ladang solar, menaik taraf grid, memasang sistem penyimpanan bateri dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja. Kita memerlukan modal besar, berterusan dan tersusun.
“Kerajaan tidak mampu menanggung beban ini secara bersendirian. Mencapai peralihan tenaga pada skala besar memerlukan kerjasama belum pernah berlaku sebelum ini antara sektor awam, pelabur swasta dan pemaju projek,” katanya berucap pada Persidangan GBA-ASEAN mengenai Peralihan Tenaga dan Integrasi di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peralihan tenaga perlu berpaksikan rakyat bagi memastikan golongan miskin dan terpinggir tidak ketinggalan.
“Peralihan yang cemerlang dari segi teknologi tetapi memusnahkan dari segi sosial bukanlah suatu peralihan, ia adalah ketidakadilan. Pada akhirnya, peralihan dan integrasi tenaga adalah mengenai manusia.
“Oleh itu, kita boleh menekankan betapa pentingnya mengutamakan golongan miskin dan terpinggir dalam usaha-usaha penting ini, jika tidak, kita hanya akan terus mengekalkan ketidaksamarataan sosial yang ketara,” katanya.
Beliau berkata, bagi negara anggota ASEAN, pembabitan yang lebih mendalam dengan China dan negara rakan lain harus diperkukuh melalui mekanisme yang diterajui ASEAN seperti Grid Kuasa ASEAN (APG).
Katanya, sektor tenaga bersih China begitu besar sehingga menyumbang lebih daripada satu persepuluh daripada KDNK negara itu.
“Bagaimanapun, peralihan tenaga tidak berlaku secara lurus dan integrasi juga tidak boleh dilaksanakan secara terasing. Malah sebelum krisis tenaga semasa, kebergantungan berlebihan bahan api fosil mendorong sebahagian besar perhatian ASEAN mula beralih kepada sumber alternatif seperti tenaga solar dan angin.
“Namun begitu, penggunaan tenaga nuklear masih rendah. Ia agak malang memandangkan rantau ini mempunyai pengalaman pengawal seliaan kukuh serta kepakaran teknikal diperlukan untuk melaksanakan satu hala tuju mampu menyumbang secara signifikan kepada pelaksanaan Pelan Tindakan ASEAN bagi Kerjasama Tenaga (APAEC),” katanya.
Anwar berkata, Malaysia menetapkan sasaran kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 31 peratus menjelang tahun lalu, meningkat kepada 40 peratus menjelang 2035 dan akhirnya mencapai 70 peratus menjelang 2050.
“Kami berikrar untuk tidak membina loji arang batu baharu dan untuk menamatkan operasi kapasiti arang batu sedia ada secara berperingkat.
“Gas asli akan terus memainkan peranan sebagai penstabil dalam tempoh terdekat ketika negara bergerak ke arah aspirasi jangka panjang untuk meningkatkan perkongsian tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Dalam menjayakan agenda peralihan ini, beliau berkata dunia kini berdepan pelbagai krisis kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai di Gaza masih berterusan selain perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran masih tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir.
“Bagi ASEAN, peralihan dan integrasi tenaga memerlukan tindakan kolektif serta kesepaduan tekad. Malaysia sudah memainkan peranan yang aktif dan akan terus berbuat demikian,” katanya. -BH Online
