SANDAKAN: Sebanyak 67.9 peratus syarikat berdaftar di bawah peluasan sektor baharu Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi kategori penggunaan jip dan pikap adalah dari Sabah, Sarawak dan Labuan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata jumlah itu merangkumi 10,453 syarikat dengan 18,538 kenderaan didaftarkan di ketiga-tiga wilayah berkenaan.
Angka berkenaan adalah sebahagian daripada 15,388 syarikat membabitkan 25,781 kenderaan berdaftar di bawah kategori itu di seluruh negara sejak peluasan berkenaan dibuka pada 3 Julai lalu.
“Peluasan kelayakan kepada sektor baharu ini adalah antara penambahbaikan utama pelaksanaan SKDS yang mendapat sambutan positif, sekali gus menunjukkan sebahagian besar syarikat penerima manfaat berdaftar di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Inisiatif ini membolehkan perniagaan milikan tunggal dan perkongsian yang menggunakan kenderaan jip dan pikap berdaftar di bawah kelas kegunaan persendirian syarikat menikmati subsidi diesel RM300 melalui mekanisme SKDS,” katanya selepas majlis penyerahanfleet card SKDS kepada 15 syarikat sempena penganjuran Festival Jom Malaysia di sini, hari ini.
Armizan berkata, dua lagi sektor di bawah SKDS ialah pengangkutan darat awam serta pengangkutan darat bagi barangan keperluan pengguna, dengan syarikat mendapat kelulusan SKDS boleh memperoleh fleet carddaripada syarikat minyak bagi tujuan pembelian diesel bersubsidi.
Mohon menerusi portal MySubsidi
Kementeriannya turut menggesa syarikat yang memenuhi syarat kelayakan tetapi masih belum berdaftar di bawah SKDS, supaya segera mengemukakan permohonan menerusi portal MySubsidi.
Armizan menjelaskan kementeriannya hanya bertanggungjawab mengawal selia penyaluran subsidi diesel bagi 35 jenis kenderaan perdagangan, manakala kategori individu menerusi Budi Diesel dan Budi Agri-Komoditi dikawal selia oleh Kementerian Kewangan (MOF).
Sementara itu, Armizan meminta wakil rakyat Sabah menyalurkan pandangan atau cadangan berhubung penyeragaman syarat kelayakan subsidi diesel dan petrol bagi kategori yang tidak membabitkan kenderaan perdagangan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.
“Kita sedia maklum ada beberapa perkara dibangkitkan wakil rakyat di Sandakan seperti penyeragaman syarat subsidi untuk individu dan isi rumah membabitkan petrol BUDI95 dan Budi Diesel, permintaan (supaya) syarat sama digunakan warganegara serta ada lesen memandu sahaja.
“Selain itu, syor (supaya isu mengenai) pendaftaran kenderaan atas nama milikan individu seperti ditetapkan MOF juga boleh disalurkan menerusi platform penyelarasan sedia ada antara kerajaan Sabah, Sarawak dan kementerian berkenaan di peringkat Persekutuan,” katanya.
Armizan berkata kementeriannya akan terus bekerjasama rapat dengan MOF, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, syarikat minyak serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan SKDS terus diperkukuh dari semasa ke semasa. -BH Online
