Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PASUKAN Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meneruskan Misi kemanusiaan menghantar bekalan makanan kepada penduduk di perkampungan di Pensiangan, hari ini.

Operasi bermula pada jam 10.43 pagi dengan menggunakan dua helikopter jenis Mi-171 milik JBPM dan AW 139 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Nabawan dan badan bukan kerajaan daripada Forces of Love (FOL).

Ketua Zon Bomba Keningau, Yuszaimi Hairrul Azwan Juatan berkata, operasi misi kemanusiaan itu disambung semula susulan keadaan cuaca yang kurang baik petang semalam.

“Penghantaran ditumpukan ke Kampung Salinatan iaitu sebanyak 1,520 kilogram bantuan bakul makanan dan Kampung Pengaraan sebanyak 670 kilogram bakul makanan,” katanya dipetik Sinar Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, Yuszaimi berkata, operasi itu kemudian ditamatkan pada jam 12.40 tengah hari selepas semua bekalan makanan telah disampaikan sejak semalam.

“Operasi hari kedua ini adalah yang terakhir dan semua bakul makanan telah diserahkan kepada penduduk kampung,” katanya.

Beliau turut memaklumkan seramai 25 anggotanya terlibat dalam misi itu yang turut dibantu oleh pelbagai agensi termasuk PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), askar Wataniah, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan badan bukan kerajaan daripada Force Of Love (FOL). -Media Perpaduan