Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MERSING: Malaysia perlu mengambil tindakan undang-undang dan diplomatik lebih tegas terhadap Norway susulan tindakan negara itu membatalkan perolehan sistem peluru berpandu antikapal (NSM) bagi melengkapkan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan itu tidak seharusnya terhad kepada proses perundangan terhadap syarikat pertahanan terbabit, malah perlu disusuli langkah diplomatik jangka panjang bagi mempertahankan maruah dan kepentingan negara.

“Saya mengikuti ketegasan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Menteri Pertahanan yang membawa isu ini ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk mengambil tindakan undang-undang kepada syarikat dari Norway selepas membatalkan pembekalan peluru berpandu yang seharusnya dibekalkan sepenuhnya bagi melengkapkan kapal perang TLDM.

“Walaupun negara itu menerima arahan daripada pihak lain untuk menghentikan pembekalan, tindakan itu sangat tidak beretika kerana pembekalan dilakukan kepada TLDM.

“Bukan hanya tindakan undang-undang, hubungan diplomatik dan menghantar nota bantahan, Kementerian Luar juga mesti melakukan tindakan jangka panjang,” katanya selepas Program Ramah Mesra Bersama Komuniti Endau di sini, hari ini.

Mohamed Khaled sebelum ini memaklumkan kerajaan mengambil tindakan tegas untuk tidak lagi mempertimbangkan apa-apa saja perolehan dari Norway.

Kerajaan Norway sebelum ini membatalkan perolehan dan lesen eksport NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.

Mengulas sama ada tindakan lebih tegas itu boleh menjejaskan hubungan dua hala Malaysia dan Norway, Ahmad Zahid berkata, usaha diplomatik sudah dimulakan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi rakan sejawatnya dari negara berkenaan.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, kerajaan juga akan mempertimbangkan untuk menghentikan pembelian sebarang bekalan atau barangan dari Norway sebagai tindak balas terhadap tindakan syarikat negara itu yang menghentikan pembekalan peluru berpandu kepada TLDM.

“Ini pendirian negara, maka apabila ia pendirian dan keputusan rasmi negara, tentunya sebarang bekalan atau barangan dari negara itu harus dipertimbangkan untuk dihentikan pembeliannya.

“Tindakan ini untuk menghantar satu mesej jelas, jangan perkotak-katikkan Malaysia walaupun negara yang relatifnya kecil, tetapi kita sebuah negara bermaruah,” katanya. -BH Online