Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kemajuan pesat kecerdasan buatan (AI) dijangka mengubah secara menyeluruh sektor kewangan, namun kejayaan industri perbankan pada masa depan tetap bergantung kepada manusia yang mampu membuat pertimbangan tepat, berintegriti dan mengurus teknologi secara bertanggungjawab.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata apabila AI semakin diterapkan dalam operasi kewangan, tenaga kerja masa depan perlu menggabungkan kebijaksanaan manusia dengan keupayaan mesin, berpandukan kepimpinan beretika, akauntabiliti dan budaya inovasi yang bertanggungjawab.

Menurutnya, sistem perbankan yang berdaya tahan bukan hanya bergantung kepada peraturan yang kukuh, modal yang mencukupi atau teknologi canggih, sebaliknya turut ditentukan oleh kualiti modal insan.

“Institusi yang akan berjaya bukan semestinya memiliki sistem paling maju, tetapi mempunyai tenaga kerja yang mampu mengurus kerumitan, membuat pertimbangan yang tepat dan bertindak dengan penuh integriti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Perbankan Malaysia ke-4 (MBC 4.0) dan Persidangan Audit Bank ke-2 (BAC 2.0), persidangan utama Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) yang diadakan di bawah platform utamanya, AICB Nexus 2026, di sini, hari ini.

Amir Hamzah juga mengingatkan bahawa risiko terbesar dalam sistem kewangan yang dipacu AI bukan semata-mata berpunca daripada mesin yang membuat keputusan silap, tetapi manusia yang dimanipulasi sehingga membuat keputusan yang salah.

Beliau berkata, penipuan kewangan kini menjadi semakin canggih dengan penggunaan teknologi digital dan AI, termasuk melalui taktik kejuruteraan sosial, akaun keldai, penyamaran identiti, serangan pancingan data, identiti sintetik serta penipuan yang dijana AI.

Justeru, katanya, institusi kewangan perlu terus memperkukuh keupayaan mengesan corak transaksi luar biasa, meningkatkan sistem pengesahan identiti, melindungi pelanggan yang berisiko dan bertindak pantas bagi mengekang ancaman.

Menurutnya, kepercayaan pelanggan tidak dibina hanya melalui mutu perkhidmatan atau reputasi sesebuah bank, sebaliknya melalui sistem yang berfungsi dengan berkesan, kawalan yang kukuh dan tindakan pantas sebelum sesuatu risiko menjadi lebih besar.

“Sektor ini memerlukan profesional yang bukan saja memahami kewangan, tetapi juga data, risiko tingkah laku, tadbir urus model, kemampanan dan etika,” katanya.

Tambahnya, matlamat sebenar kewangan pintar bukan sekadar memiliki teknologi tercanggih, tetapi membina sistem kewangan yang dipercayai, ditadbir secara bertanggungjawab dan berteraskan nilai kemanusiaan. -BH Online