KUALA LUMPUR: Sebanyak 463 kes jenayah membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) direkodkan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) bagi tahun 2025.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata sebanyak 378 kes direkodkan pada 2023 dan 407 kes pada 2024.
Katanya, JIPS tidak merekodkan penggunaan kekerasan sebagai kategori berasingan dan sebarang aduan mengandungi elemen jenayah akan direkodkan di bawah kategori berkenaan.
“Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) menerima 100 aduan (2023), 338 (2024) dan 388 (2025).
“Kementerian akan terus memperkukuh latihan hak asasi manusia, tadbir urus bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang profesional dan terus mendapat kepercayaan masyarakat,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM 2024 bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat, hari ini
Menyentuh mengenai penguatkuasaan pendatang tanpa izin (PATI), Shamsul berkata, bagi tempoh 1 Januari sehingga 15 Jun lalu, sebanyak 5,430 operasi dijalankan oleh Jabatan Imigresen (JIM) di seluruh negara.
Katanya, ia membabitkan 76,681 individu dan seramai 18,687 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah undang-undang Imigresen.
“Selain tangkapan, kerajaan turut menyediakan program secara sukarela yang dilaksanakan mulai Mei 2025 sehingga Jun lalu.
“Seramai 264,961 warga asing daripada 12 negara berdaftar di bawah program berkenaan..
“Daripada jumlah itu sebanyak 242,00 sudah dihantar pulang ke negara asal,” katanya. -BH Online
