Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkukuh agenda perubahan iklim negara menerusi pelaksanaan dasar dan inisiatif yang lebih bersepadu selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris dan Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bagi tujuan itu, Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu bekerjasama erat bagi memastikan setiap dasar serta strategi berkaitan perubahan iklim yang dirangka dapat dilaksanakan secara inklusif dan berkesan.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, beliau menekankan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara hari ini, yang meneliti kemajuan pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh tindakan Malaysia dalam mendepani cabaran perubahan iklim.

“Saya turut menegaskan kepentingan libat urus yang lebih menyeluruh bersama Kerajaan Negeri agar setiap dasar dan strategi dirangka secara inklusif, selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan serta menghormati bidang kuasa dan peranan negeri,” katanya. 

Beliau berkata Kerajaan MADANI kekal fokus dalam memastikan agenda pembangunan negara bergerak seiring dengan usaha memelihara alam sekitar demi masa depan yang lebih lestari untuk generasi akan datang. -BH Online