Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Penjawat awam perlu kekal berpegang kepada prinsip integriti, profesionalisme dan berkecuali dalam melaksanakan amanah bagi memastikan kestabilan negara serta kesinambungan dasar dalam landskap politik yang semakin dinamik, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata setiap dasar yang dirangka dan dilaksanakan perlu berpaksikan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat, tanpa dipengaruhi perubahan politik semasa.

“Kesinambungan dasar yang baik amat penting bagi memastikan negara terus berdaya saing, memperkukuh tadbir urus dan mengekalkan keyakinan pelabur serta kestabilan ekonomi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fadillah menyampaikan amanat itu ketika menghadiri Wacana Program Kepimpinan dan Pengurusan Lanjutan (ALMP) Siri 87 Bil. 2/2026 di Institut Tadbiran Awam Negara, Bukit Kiara di sini.

Beliau berkata dalam menghadapi cabaran geopolitik, ketidaktentuan ekonomi global dan tekanan terhadap kewangan negara, seluruh jentera perkhidmatan awam perlu terus berfikiran jauh, bertindak secara strategik serta mengurus sumber negara dengan penuh tanggungjawab.

Pada masa sama, beliau menegaskan kebajikan rakyat perlu sentiasa menjadi keutamaan melalui pelaksanaan dasar yang mampan dan berhemah.

“Amanah sebagai penjawat awam bukan sekadar melaksanakan tugas, sebaliknya memikul tanggungjawab besar untuk memastikan Malaysia terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara yang makmur, berdaya tahan dan sejahtera demi generasi hari ini serta masa hadapan,” katanya.– BERNAMA