KUALA LUMPUR: Pembangunan pusat data di Malaysia menyumbang kepada peningkatan kepada bilangan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dengan gaji mencecah sehingga RM30,000 sebulan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata, jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding gaji median rakyat negara ini pada 2024 iaitu RM2,793 sahaja.
Katanya, jawatan permulaan dibayar di antara RM3,000 hingga RM7,000 sebulan, manakala jawatan kanan boleh mencecah RM10,000 sehingga RM30,000 sebulan.
“Berdasarkan laporan Bank Negara (BNM) bertajuk From Bytes to Bucks: The Economics of Data Centres in Malaysia, Q3 2025, pembangunan pusat data menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi seperti jurutera rangkaian, arkitek awan dan saintis data yang menawarkan gaji melebihi purata nasional,” katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai nilai tambah pembangunan pusat data, termasuk penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, di Dewan Rakyat hari ini.
Gobind berkata, syarikat teknologi besar itu juga menyediakan program latihan dan sijil khas untuk melatih rakyat tempatan.
Katanya, selain itu kerajaan juga sedang membina rangka kerja latihan bersama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang ini.
“Kesimpulannya, pusat data memberi nilai tambah kepada ekosistem digital negara seperti penawaran peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dengan purata gaji yang lebih tinggi, kemahiran teknologi baharu, dan peluang pemindahan teknologi,” katanya.
Mengulas kebimbangan mengenai kesan pertumbuhan pesat pusat data, termasuk pusat data berasaskan kecerdasan buatan (AI), terhadap alam sekitar, penggunaan tenaga dan sumber air, Gobind berkata, kerajaan mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan pembangunan sektor itu dilaksanakan secara mampan.
Katanya, Pasukan Petugas Pusat Data (Data Centre Task Force) ditubuhkan sebagai mekanisme penyelarasan dan penilaian berpusat di peringkat kebangsaan bagi semua cadangan pembangunan pusat data.
“Melalui pendekatan ini, setiap permohonan pembangunan pusat data dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira kesan kumulatif terhadap keperluan tenaga elektrik, sumber air, penggunaan tanah, infrastruktur digital serta faktor kemampanan berkaitan sebelum sesuatu projek dipertimbangkan untuk kelulusan,” katanya.
Beliau berkata, operator pusat data juga digalakkan untuk meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu, mengadaptasi teknologi penyejukan berkecekapan tinggi, menggunakan sumber air boleh guna semula serta melaksanakan sistem pengumpulan air hujan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan air terawat.
“Langkah-langkah ini penting bagi memastikan pertumbuhan industri
pusat data tidak memberi tekanan yang tidak seimbang kepada sumber tenaga dan air negara,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan pusat data juga tertakluk kepada Garis Panduan Perancangan (GPP) Pusat Data yang disediakan oleh PLANMalaysia.
“Setiap pembangunan perlu melalui proses Kebenaran Merancang serta semakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi teknikal berkaitan di peringkat negeri dan daerah,” katanya. -BH Online
