Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

 LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026, yang bertujuan memperluas kuasa penetapan harga serta meningkatkan penalti terhadap pihak yang melanggar peruntukan akta itu, dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, di sini, hari ini. 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika membentangkan RUU berkenaan berkata, bacaan kali kedua dan ketiga juga akan dibuat pada mesyuarat kali ini.

Menurut naskhah biru yang disiarkan di portal rasmi Parlimen, pindaan akta itu membabitkan lima fasal utama untuk meminda beberapa peruntukan dalam akta berkenaan yang dikenali sebagai Akta 522.

Fasal 3 RUU itu bertujuan meminda Seksyen 22 dengan menaikkan kadar penalti bagi kesalahan di bawah akta berkenaan atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya, yang tidak diperuntukkan penalti secara khusus.

Untuk individu, termasuk pengarah atau pegawai sesuatu pertubuhan perbadanan, subseksyen 22 (1) dipinda untuk menaikkan denda maksimum daripada RM15,000 kepada RM250,000, manakala bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya denda maksimum dinaikkan daripada RM25,000 kepada RM500,000.

Bagi sesuatu pertubuhan perbadanan, Fasal 3(b) meminda subseksyen 22(2) dengan menaikkan denda maksimum daripada RM25,000 kepada RM500,000, manakala kesalahan kali kedua atau berikutnya meningkat daripada RM50,000 kepada RM1 juta.

Sementara itu, Fasal 2 RUU itu bercadang meminda perenggan 4(2)(c) Akta 522 bagi memberi Ketua Pengarah kuasa, tertakluk kepada kelulusan Menteri terlebih dahulu untuk menguatkuasakan harga maksimum atau minimum bagi padi atau beras.

“Pindaan itu berbangkit daripada pindaan yang dibuat kepada Seksyen 29 Akta 522 yang kini memberi menteri kuasa untuk menetapkan gred beras dan kawalan harga bagi beras bergred itu,” menurut RUU berkenaan

Selain itu, Fasal 4 pula untuk meminda Seksyen 29 bagi memberikan kuasa kepada menteri membuat peraturan berkaitan pelesenan pembeli padi, penetapan gred beras serta kawalan harga bagi beras bergred itu, selain peraturan berkaitan larangan, pengawalseliaan atau kawalan pemindahan padi atau beras.

“Fasal ini juga bertujuan memperuntukkan bahawa mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta 522 boleh menetapkan suatu perbuatan yang melanggar peraturan-peraturan itu sebagai suatu kesalahan, dan boleh menetapkan penalti denda yang tidak melebihi RM15,000 atau pemenjaraan selama tempoh yang tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” menurut RUU itu.

Fasal 5 pula memperuntukkan perkara berkaitan kecualian, iaitu apa-apa penyiasatan atau prosiding yang dimulakan atau yang masih belum selesai sebelum tarikh permulaan kuat kuasa akta itu, diteruskan seolah-olah akta ibu tidak dipinda. – BERNAMA