KUALA LUMPUR: Selepas 36 tahun menabur bakti kepada perkhidmatan awam dan dunia statistik negara, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, menamatkan khidmatnya selepas memulakan kerjaya di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2 Januari 1990.
Penamat itu bukan sekadar menutup satu lembaran kerjaya, malah mengakhiri perjalanan seorang tokoh yang mencorakkan evolusi sistem statistik negara sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Selama lebih tiga dekad, beliau menyaksikan sendiri statistik berkembang daripada sekadar himpunan angka kepada asas penting dalam pembentukan dasar negara.
Dalam tempoh itu, beliau turut memainkan peranan besar memacu transformasi penyampaian data kerajaan agar lebih pantas, bersepadu dan berpaksikan keperluan rakyat.
Sejak dilantik sebagai Ketua Perangkawan Malaysia pada 2017, Mohd Uzir menerajui pelbagai agenda pengukuhan sistem statistik negara, termasuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan berpacukan analitis data, mengoptimumkan penggunaan serta perkongsian data, membangunkan kompetensi penjawat awam dalam bidang sains data dan mengukuhkan kedudukan DOSM sebagai agensi pusat data negara.
Antara legasi terbesar beliau ialah penekanan terhadap penghasilan statistik rasmi yang lebih tepat pada masanya serta lebih granular.
Pendekatan itu diterjemahkan menerusi penerbitan Anggaran Awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku tahunan pada 2023, Anggaran KDNK Peringkat Daerah pada 2024, selain statistik Parlimen, Dewan Undangan Negeri serta laporan MyLocalStats bagi menyokong pembuatan dasar berasaskan bukti.
Beliau turut mengetuai pelbagai inisiatif transformasi data nasional, termasuk pembangunan Pangkalan Data Utama Negara (PADU), kalkulator MyPAKW sebagai penanda aras perancangan perbelanjaan asas kehidupan wajar serta MyLabourHub, hab kecerdasan pasaran buruh yang dipacu Kayra-GPT bagi memudahkan carian data secara pantas dan mesra pengguna.
Dalam sektor pertanian pula, beliau menerajui pembangunan TaniStats yang mengintegrasikan Banci Pertanian 2024 dengan data huluan, hiliran serta keterjaminan makanan dalam satu platform bagi menyokong perancangan strategik, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan pertumbuhan mampan sektor itu.
Beliau juga memperkenalkan kalkulator jangka hayat yang membantu individu membuat perancangan berkaitan kesihatan, kewangan dan gaya hidup berdasarkan anggaran usia panjang.
Di pentas antarabangsa, Mohd Uzir memainkan peranan penting meletakkan Malaysia dalam kalangan negara yang dihormati dalam komuniti statistik dunia.
Sejak 2017, beliau mewakili negara di Suruhanjaya Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, selain pernah mempengerusikan ISI World Statistics Congress pada 2019.
Sumbangan itu turut membantu mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam penilaian Open Data Inventory (ODIN) 2024-2025. Beliau juga menerima Anugerah Pengiktirafan Khas daripada SESRIC sebagai penghargaan terhadap kepimpinan beliau dalam memperkukuh keupayaan statistik negara anggota OIC serta kerjasama statistik serantau.
Selain itu, beliau memimpin pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 sebagai Pesuruhjaya Banci serta Banci Pertanian 2024, selain menganggotai jawatankuasa yang menyelia Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri di Sarawak kali ketujuh.
Bagi Mohd Uzir, statistik tidak pernah terbatas kepada angka semata-mata.
Pendekatan beliau yang memberi penekanan kepada literasi statistik diterjemahkan melalui pelbagai program libat urus bersama masyarakat menerusi platform digital, media sosial, aktiviti sukan, program komuniti, inisiatif kerohanian serta forum ilmiah bagi mendekatkan data kepada rakyat.
Kerjaya beliau bermula sebagai Perangkawan di Jabatan Perangkaan Malaysia Pulau Pinang pada 1990 sebelum meniti pelbagai jawatan penting termasuk dalam Bahagian Perangkaan Perdagangan Luar Negeri, Bahagian Akaun Negara, Ketua Penolong Pengarah, Timbalan Pengarah, Pengarah, Pengarah Kanan dan Timbalan Ketua Perangkawan sebelum dilantik sebagai Ketua Perangkawan Malaysia pada 2017.
Mohd Uzir juga memiliki kelayakan akademik yang kukuh dengan Ijazah Doktor Falsafah (Ekonomi) dari Universiti Sheffield, United Kingdom, Sarjana Ekonomi dari Universiti Vanderbilt, Amerika Syarikat serta Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya.
Sepanjang kerjayanya, beliau menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Khas Kepimpinan Statistik SESRIC 2025, Anugerah Timbalan Pesuruhjaya Kehormat Angkatan Pertahanan Awam 2025, Anugerah Majikan Prihatin Persekutuan CUEPACS 2021 selain dikurniakan Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri pada 2017.
Dalam dunia yang semakin dipacu data, perjalanan kerjaya Mohd Uzir memperlihatkan bagaimana angka mampu diterjemahkan menjadi dasar, perancangan dan keputusan yang memberi manfaat kepada negara.
Selepas 36 tahun mengabdikan diri kepada perkhidmatan awam, tirai kerjaya beliau mungkin telah dilabuhkan, namun legasi membina ekosistem statistik negara yang lebih moden, terbuka dan berorientasikan rakyat akan terus menjadi sebahagian daripada landskap pembangunan Malaysia. -BH Online

