Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited memajukan, melindungi dan memenuhi hak asasi manusia secara seimbang, selaras Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang serta kepentingan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ini kerana, hak asasi manusia adalah asas bagi pembentukan masyarakat aman, inklusif dan sejahtera.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, komitmen kerajaan itu juga selaras ketetapan berhubung hak asasi manusia setiap individu di negara ini dijamin di bawah Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga menggesa supaya syor, pandangan dan cadangan terkandung dalam Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024 (Kertas Statut 102 Tahun2026) diberi perhatian oleh semua pihak.

“Ini bagi memperkukuh kerjasama rentas kementerian dan agensi dalam memastikan pelaksanaan setiap syor, pandangan dan cadangan laporan berkenaan secara berkesan.

“Perkara ini dibangkitkan dalam Kertas Statut 102 Tahun 2026, termasuk berkaitan hak pekerja, kumpulan rentan, kanak-kanak, wanita, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta isusosial dan ekonomi berkaitan.

“Kerajaan juga akan terus meneliti syor dikemukakan SUHAKAM dan memperkukuh kerjasama dengan semua kementerian, agensi serta pihak berkepentingan bagi memastikan agenda hak asasi manusia terus diperkasakan, selaras aspirasi Malaysia MADANI,” katanya ketika membentangkan laporan itu di Dewan Rakyat hari ini.

Sepanjang 2024, sebanyak 1,074 aduan diterima SUHAKAM dengan 41 peratus kes diselesaikan bagi tahun semasa, selain menyaksikan penguatkuasaan Akta SUHAKAM (Pindaan) 2024.

Pindaan akta berkenaan bertujuan memperkukuh mandat SUHAKAM, termasuk melalui penubuhan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak.

Azalina berkata, hak asasi manusia adalah agenda rentas sektor, memerlukan komitmen seluruh masyarakat, selain kerajaan bagi tujuan sama akan terus memperkukuh pendekatan ‘whole-of -government’ dan ‘whole-of-society’.

Pengukuhan itu, katanya, dibuat melalui kerjasama erat dengan SUHAKAM, kementerian dan agensi kerajaan, badan kehakiman, pihak berkuasa penguatkuasaan, institusi pendidikan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil serta media.

“Setiap pihak ada peranan penting. Media membantu meningkatkan kesedaran awam dan mengetengahkan isu secara bertanggungjawab.

“Pertubuhan masyarakat sivil pula menjadi rakan strategik kerajaan melalui advokasi, penyelidikan dan sokongan kepada golongan rentan, selain rakyat perlu peka serta menggunakan saluran sewajarnya bagi melaporkan sebarang pelanggaran hak asasi manusia.

“Hanya melalui kerjasama semua pihak, agenda pemajuan dan perlindungan hak asasi manusia dapat terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, kerajaan menghargai pengiktirafan Status ‘A’ diberikan secara berterusan kepada SUHAKAM di bawah Prinsip-prinsip Paris, yang antara lain mencerminkan tahap keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap suruhanjaya itu.

“Kerajaan juga menyokong usaha berterusan SUHAKAM memperkukuh kesedaran awam, pendidikan hak asasi manusia serta pembabitan di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri juga sudah melancarkan Pelan Tindakan Nasional mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) 2025–2030 sebagai kerangka nasional bagi menggalakkan amalan perniagaan bertanggungjawab, selaras piawaian antarabangsa.

“Pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat melalui kerjasama kerajaan, sektor swasta dan semua pihak berkepentingan,” katanya.