Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Penilaian teknikal peringkat Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi memilih sistem peluru berpandu sebagai pengganti sistem Naval Strike Missile (NSM) untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) akan diselesaikan pada akhir bulan ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata TLDM dan MINDEF sedang menjalankan penilaian terhadap beberapa sistem peluru berpandu surface-to-surface daripada pengeluar peralatan asal (OEM) oleh negara berpotensi bagi menggantikan sistem NSM, yang dibatalkan lesen eksportnya oleh Norway.

Beliau berkata, tawaran serta cadangan daripada syarikat-syarikat berkenaan akan dinilai secara komprehensif berdasarkan keperluan operasi TLDM.

“Ia merangkumi beberapa aspek iaitu keupayaan sistem untuk disepadukan dengan Combat Management System kapal LCS, tempoh penghantaran sistem itu, kos keseluruhan perolehan dan terakhir tahap teknologi dan keupayaan operasi yang setanding atau lebih baik daripada NSM.

“Insya-Allah sekiranya semua berjalan lancar, penilaian teknikal di peringkat TLDM dan Kementerian Pertahanan siap pada akhir Julai ini sebelum diangkat ke peringkat penilaian seterusnya,” kata beliau ketika sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamed Khaled berkata keputusan kerajaan Norway membatalkan lesen eksport sistem NSM kepada Malaysia secara unilateral itu bukan sekadar melibatkan kontrak perolehan pertahanan, malah menyentuh kepentingan strategik negara, penggunaan wang rakyat serta kesiagaan pertahanan negara.

Beliau menjelaskan proses perolehan NSM itu bermula sejak 2011 sebelum kontrak perolehan bernilai €128.7 juta dimeterai pada 2018 bagi melengkapkan keupayaan kapal-kapal LCS, manakala satu lagi kontrak bernilai €9.19 juta dimeterai pada 2023 bagi dua set pelancar untuk KD Jebat dan KD Lekiu, menjadikan jumlahnya kira-kira RM642.6 juta (€137.91 juta).

Katany, Malaysia sudah memenuhi semua obligasi kontrak, termasuk membuat pembayaran sebanyak €129.8 juta (kira-kira RM600 juta), bersamaan lebih 95 peratus daripada nilai keseluruhan kontrak, sebelum penghantaran peluru berpandu itu dijadualkan pada Mac 2026.-BH Online