Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ALOR GAJAH: Projek Melaka Inland Port (MIP) bernilai RM300 juta dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri menerusi pengukuhan sektor logistik dan perdagangan, selain menyokong aspirasi kerajaan negeri mencapai sasaran nilai pelaburan RM10 bilion menjelang 2030.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata pelabuhan darat yang akan dibangunkan di kawasan seluas 52.8 hektar di Mukim Taboh Naning itu merupakan sebahagian daripada pembangunan MCORP Hi-Tech Park seluas 2,023 hektar, terletak berhampiran Stesen Kereta Api Pulau Sebang di sini.

Beliau berkata, MIP akan dilengkapi dengan hab depot bersepadu, kawasan kastam berbon dan tidak berbon, operasi pengendalian kontena serta kargo rel, pusat pergudangan dan pengedaran, perkhidmatan pengangkutan multimodal serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sistem logistik pintar.

“Pembangunan MIP dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM540 juta dilaksanakan secara berfasa, fasa pertama melibatkan kawasan seluas 28.32 hektar, dijangka siap dalam tempoh kurang setahun.

“Fasa kedua melibatkan baki 24.56 hektar akan dimulakan selepas operasi fasa pertama mencapai tahap optimum,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah MIP di sini hari ini.

Kawasan kastam berbon bermaksud barang-barang import yang disimpan di situ dikawal di bawah jaminan (atau bond) kastam, dan pemilik barang belum perlu membayar cukai selagi barang itu tidak dibawa keluar untuk pasaran tempatan.

Manakala, kawasan tidak berbon bermakna kawasan gudang atau premis komersial biasa, tempat menyimpan barangan yang sudah siap dibayar cukainya (telah melalui proses pelepasan kastam sepenuhnya) atau barangan tempatan yang tidak dikenakan cukai import.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata kesemua komponen tersebut akan meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan memperkukuh daya saing industri logistik negara.

Beliau berkata, pembangunan MIP selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk mencapai sasaran RM10 bilion nilai pelaburan menjelang 2030 dengan memberi tumpuan kepada sektor berteknologi tinggi, teknologi hijau dan transformasi digital.

“Kedudukan Melaka yang strategik antara Singapura dan Pelabuhan Klang memberikan kelebihan kepada projek itu berperanan sebagai pintu masuk logistik, menghubungkan zon perindustrian utama dengan pasaran domestik dan antarabangsa.

“Apabila beroperasi sepenuhnya kelak, MIP dijangka mampu mengendalikan sehingga 25,000 unit bersamaan 20 kaki (TEU) sebulan atau 300,000 TEU setahun, dengan nilai anggaran RM120 juta,” katanya.

Beliau berkata, selain itu projek berkenaan dijangka mewujudkan kira-kira 500 peluang pekerjaan merangkumi pelbagai jawatan profesional dan berimpak tinggi, di samping menarik lebih banyak pelaburan domestik serta antarabangsa ke Melaka.

Kerajaan negeri yakin MIP akan menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi mampan, memperkukuh hubungan perdagangan serta mengangkat Melaka sebagai pintu masuk logistik strategik negara ke pasaran serantau dan global, katanya.-BERNAMA