Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

IPOH: Perak bakal menerima pelaburan bernilai AS$50 juta daripada sebuah syarikat Korea Selatan yang berkaitan dengan industri produk elektrik dan elektronik (E&E), kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, perkara itu telah dimaklumkan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif InvestPerak, Dr Ahmad Shahir Abdul Aziz mengenai kejayaan agensi itu mendapat pelaburan berkenaan baru-baru ini.

“Pelaburan berjumlah AS$50 juta itu sangat besar dan saya harap ini dapat menambah jumlah peratus pelaburan bagi tahun ini.

“Pada masa sama, saya juga berharap kita dapat melaporkan penurunan kadar pengangguran pada tahun depan,” kata beliau ketika membentangkan Laporan Tahun Keempat Perak Sejahtera 2030 di sini, hari ini.

Menurut laporan Pelaburan Swasta diluluskan mengikut negeri oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), prestasi pelaburan Perak setakat Januari hingga Mac 2026 mencecah nilai RM1.76 bilion manakala Laporan Survei Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2025 menyatakan kadar penggangguran di Perak adalah 3.5 peratus.

Pada sesi sidang media kemudiannya, Saarani menjelaskan syarikat Korea Selatan itu akan ke Perak untuk membuat tinjauan berkaitan.

“Syarikat berkenaan akan datang untuk melihat. Kita ada (taman perindustrian) terbaharu iaitu KLK Tech Park (di Tanjong Malim) dan (Bandar Perindustrian Maritim Lumut) di Sitiawan dan jika lewat sikit, mereka boleh ke Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP),” katanya ketika diminta mengulas mengenai lokasi pilihan syarikat itu.

Dalam pada itu, beliau berkata pelan Perak Sejahtera 2030 yang kini memasuki tahun keempat pelaksanaannya sejak 15 Jun 2022 kini di landasan kukuh bagi menterjemahkan pertumbuhan ekonomi negeri kepada manfaat untuk dinikmati rakyat Perak.

Perkembangan itu disokong oleh prestasi ekonomi Perak yang terus berkembang sebanyak 5.7 peratus atau RM91.5 bilion pada 2025, sekali gus mengatasi kadar pertumbuhan nasional pada 5.2 peratus. 

Perak juga muncul sebagai penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) keenam terbesar negara dengan sumbangan sebanyak 5.3 peratus, kata beliau.

“Momentum ini turut diperkukuh oleh peningkatan pelaburan diluluskan diterima negeri ini daripada RM6.61 bilion pada 2022 kepada RM15.76 bilion pada 2025, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju pembangunan Perak.

“Keyakinan ini dipacu oleh hala tuju pembangunan yang jelas melalui lima nod pertumbuhan strategik negeri yang menjadi asas penciptaan peluang pekerjaan, pengukuhan rantaian industri dan limpahan ekonomi kepada daerah-daerah di Perak,” katanya.

Saarani bagaimanapun menegaskan, kerajaan negeri menganggap pencapaian ekonomi dan pelaburan hanya bermakna apabila dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, perniagaan dan kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, tumpuan Perak Sejahtera 2030 adalah untuk memastikan hasil pembangunan terus dirasai rakyat melalui antaranya inisiatif kos sara hidup, keterjaminan makanan, pendidikan, kesihatan, perumahan, keusahawanan serta peluang pekerjaan.

Pada masa sama, katanya, keyakinan terhadap Perak terus dibina apabila rakyat mula melihat hasil pelaksanaan dasar, golongan muda mempunyai laluan lebih jelas untuk membina masa depan, pelabur terus memilih Perak manakala Kerajaan Persekutuan terus memberi kepercayaan untuk negeri itu melaksanakan projek-projek strategik.

“Bagi memastikan Perak Sejahtera 2030 kekal relevan menuju 2030, kerajaan negeri akan melaksanakan Kajian Separuh Penggal meliputi penyelarasan indikator pemantauan, penambahbaikan agenda dan flagship (keistimewaan) serta pemutihan Dashboard Perak Sejahtera 2030.

“Kajian itu akan mengambil kira keberkesanan pelaksanaan sedia ada, dapatan libat urus, Persidangan Dasar dan Penyelidikan Perak 2026, kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13 dan trend ekonomi baharu,” katanya.

Menurut Saarani, kajian itu telah pun bermula dan perlu disiapkan sebelum tahun depan.

Beliau juga menyifatkan tema ‘Hasil Dirasa, Keyakinan Dibina’ menjadi asas gerak kerja selanjutnya agar Perak Sejahtera 2030 tidak hanya sekadar dokumen perancangan, tetapi menjadi kerangka kerja yang hidup, dilaksanakan serta memberi makna kepada kehidupan rakyat.-BERNAMA